- Beli makanan segar. Makanan sejuk beku menggunakan 10 kali ganda tenaga untuk dihasilkan.
- Beli sayur-sayuran dan buah-buahan dari ladang organik (menggunakan baja organik/ kompos tanpa racun makhluk perosak).
- Beli produk keluaran tempatan (Buatan Malaysia). Ia menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang keluar semasa proses penghantaran.
- Beralih ke barangan yang boleh digunakan semula. Ini mengurangkan barang buangan dan menjimatkan sumber tenaga. Lampin pakai buang adalah bahan yang tidak boleh lupus dengan sempurna.
- Jangan beli barang-barang yang diperbuat daripada haiwan atau tumbuhan terancam bagi mengelakkan biodiversiti yang menjamin keseimbangan alam sekitar.
- Bawa bekas mengisi makanan sendiri apabila membeli makanan untuk dibawa pulang. Ini akan mengurangkan penggunaan bekas ‘styrofoam’ yang tidak boleh lupus.
- Rancang pembelian untuk mengelakkan daripada membeli barangan yang tidak perlu. Cara ini juga akan membantu para pengguna untuk berjimat.
- Rancang tempat untuk membeli belah bagi menjimatkan bahan api dan masa. Belilah barang keperluan dengan sekali pergi sahaja. Sebaik-baiknya kurangkan memandu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas atau berjalanlah untuk mengurang pencemaran udara.
- Bertukarlah kepada petrol tanpa plumbum. Ia mengurangkan pelepasan plumbum ke atmosfera.
- Pilih peralatan bebas klorofluorokarbon (CFC) serta mesra alam yang menjimatkan tenaga. CFC boleh memusnahkan lapisan ozon dan menyebabkan pemanasan global.
- Sewa/ pinjam barang yang jarang digunakan. Menyewa lebih menjimatkan ruang penyimpanan barang dan wang.
- Beli barangan terpakai seperti buku, perabot, peralatan memasak dan lain-lain. Ia merupakan salah satu amalan penggunaan.
- Bawa beg sendiri untuk membeli belah. Beg plastik tidak boleh dilupuskan dan mengambil masa antara 150 sehingga 500 tahun untuk diuraikan.
- Gunakan bateri yang dicas semula dan tanpa cadmium untuk semua peralatan elektronik yang memerlukan bateri.
- Pilih barang yang kurang menggunakan bungkusan bagi mengurangkan sisa pepejal. Membeli barangan secara pukal dan yang boleh diisi semula kandungannya lebih murah dan menjimatkan pembungkusan.
- Fikir dahulu sebelum membeli. Beli apa yang anda perlu dan bukan yang anda mahu.
- Lakukan pembelian secara atas talian (online) untuk mengurangkan kos pengangkutan. Berhati-hati semasa melakukan pembelian secara atas talian dan elakkan diri anda dari ditipu.
- Beli barangan yang diperbuat daripada kertas atau bahan kitar semula.
- Apabila hendak menukar atau membeli barangan elektrik yang baru, pilihlah model berlabel ‘Energy Star’ yang menjimatkan tenaga serta wang.
Sumber : Berita Harian