Thursday, November 4, 2010

Home » » Murid Ditampar Empat Kali

Murid Ditampar Empat Kali

JOHOR BAHRU – Seorang ibu kesal tindakan seorang guru di salah sebuah sekolah rendah sekitar kawasan Kangkar Tebrau, di sini, yang menampar anaknya selepas berkelahi bersama rakan.

Ibu mangsa berkata, anaknya trauma selepas ditampar empat kali selepas ditangkap bergaduh dengan rakan sebaya berpunca daripada insiden mengejek.

Menurutnya, tindakan guru itu walaupun tidak meninggalkan kesan kecederaan masih memberikan kesan psikologi ke atas anaknya untuk pergi ke sekolah.

“Saya terkejut apabila anak perempuan memberitahu adiknya dijemur dalam cuaca hujan renyai selama beberapa minit di atas kesalahan menggigit lengan rakan sebaya selepas marah diejek ‘pondan’.

“Malah, anak saya sendiri turut memberitahu saya bahawa guru terbabit bertindak menampar muka sebanyak empat kali di pipi kiri dan kanan tanpa usul periksa selepas ternampak dia menggigit rakannya sekitar jam 8 pagi kelmarin.

“Anak saya bertindak begitu kerana tidak tahan ejekan yang diterima sejak dia masih di tahun satu lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu mangsa berkata, anaknya juga pernah memberitahu kepada guru terbabit berhubung tindakan menggigit rakan sebayanya itu, tetapi segala yang dinyatakan tidak diterima seterusnya diadili dengan baik.

“Hanya kerana dia berperwatakan lembut, rakan sebayanya itu sengaja membuat anak saya marah dengan mengejek dan pernah melaporkan kepada guru supaya tindakan disiplin dikenakan.

“Saya sendiri sudah melaporkan kepada Guru Besar sekolah untuk memastikan insiden itu tidak berlaku, namun masih berulang sehingga anak saya sudah tidak mampu bersabar lagi,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia bertindak membuat aduan secara terus menerusi laman sesawang Kementerian Pelajaran seterusnya laporan di Balai Polis Setia Indah mengenai kejadian tersebut pada jam 10.14 pagi semalam.

“Saya membuat laporan kepada kementerian dan polis bukan kerana mahu melindungi atau menutup kesalahan anak saya tetapi berharap warga pendidik masa kini mempunyai langkah terbaik untuk memberi pengajaran kepada anak-anak.

“Tidak salah sekiranya guru terbabit meleraikan pertelingkahan anak saya bersama rakan sebayanya terlebih dahulu dan memberikan nasihat atau amaran di atas tindakan dibuat.

“Saya kesal tindakan guru terbabit dan berharap pihak berwajib berbuat sesuatu bagi mengelakkan insiden sama berlaku kepada anak saya atau kanak-kanak lain,” katanya.

1 comments:

relevan said...

Guru yang ganas ni..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update