Semakin hari semakin kurang manusia yang beriman. Iman merupakan penapis yang terbaik bagi orang yang beriman untuk mengambil apa sahaja yang dibenarkan oleh Allah. Malangnya umat akhir zaman makin menjauhi menjadikan Islam sebagai cara hidup apatah lagi untuk beramal dengan Islam.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa perkara yang paling disukai oleh manusia biasanya adalah perkara yang selari dengan nafsu dan keinginan mereka. Kebanyakan kesukaan tersebut adalah perkara yang terlarang di dalam agama. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat 14:
" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu) , iaitu wanita-wanita, anak-anak dan hartabenda yang banyak yang melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda yang dipelihara yang bertanda serta baik, binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Demikian itu merupakan kesenangan hidup didunia. (Ingatlah) disisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."
" Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada perkara kejahatan" (Surah Yusof : 53)
Nabi s.a.w telah bersabda:
"Dihiasi jalan menuju ke Syurga dengan perkara yang di benci oleh manusia dan dihiasi jalan menuju ke Neraka dengan segala keinginan manusia."
Kajian yang telah didedahkan oleh Dr. Fatimah Abdullah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia merekodkan maklumat dan angka yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan sejak tahun 2000 hingga julai 2008 bahawa terdapat 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa tercatat nama bapa. (Anak luar nikah atau anak tidak sah taraf). Secara purata , 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari atau berlaku setiap 17 minit 17 saat. Angka ini amat menggerunkan kita. Persoalannya sekarang bagaimana pula untuk 10 tahun akan datang. Atau angka sebelum tahun 2000?.
Perlu difahami bahawa kajian itu tidak mengambil kira jumlah bayi yang dibuang, disembunyikan, digugurkan, dijual, atau mati dibuang yang tidak dapat dikesan.
Jika kita unjurkan lagi angka tersebut maka akan lebih menggerunkan lagi dan tidak syak lagi generasi kita akan datang adalah dari kalangan anak luar nikah sedangkan Islam amat menjaga nasab dan keturunan dengan melaksanakan hukuman zina. Kalau jumlah anak luar nikah yang didaftarkan (bagi bayi Islam atau bukan Islam) dalam tempoh 10 tahun adalah lebih suku juta. Maka kebarangkalian anak yang tidak didaftarkan adalah juga suku juta. Bagaimana pula anak yang dibuang samada yang dijumpai mayatnya atau tidak dijumpai kerana ditanam, atau di buang lalu dimakan anjing atau ular atau ikan atau di buang dalam lubang tandas. Katakan jumlahnya juga suku juta. Termasuk yang masih dalam kandungan lalu digugurkan, saya rasa jumlahnya lagi besar dan katalah ianya suku juta. Maka jumlah hasil perzinaan dalam tempoh 10 tahun adalah 1,000,000 orang.
Jika hasil anak luar nikah adalah sejuta orang maka pelaku zina pula adalah dua kali ganda kerana pelakunya adalah lelaki dan perempuan, maka jumlahnya adalah 2,000,000 orang. Golongan pelacur samada tempatan atau luar negara di negara kita dijangkakan hampir sejuta orang. Golongan homoseks, lesbian, pengkid, lelaki dan perempuan simpanan juga golongan maknyah dan pondan. Tidak dikira pula mereka yang berzina tetapi memakai kondom atau mengeluarkan mani di luar perlu diambil kira. Maka dijangkakan bahawa penzina bserta hasilnya dalam tempoh 10 tahun boleh mencecah seramai 5 juta orang, sama dengan penduduk Negeri Selangor.
Menurut Laporan kajian oleh Durex & Durex , mendapati Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah dikalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2003) dan 86 kali setahun (kajian 2004) berbanding Jepun yang hanya 37 kali setahun (2001).
Turut direkodkan , remaja perempuan di Malaysia didapati kehilangan dara pada usia muda iaitu 20 tahun (kajian 2001) dan ketika berumur 19 tahun ( kajian 2004).
Melalui angka-angka tersebut, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Johor adalah negeri-negeri yang mencatatkan kelahiran tidak sah taraf dengan peratusan bagi setiap negeri terbabit melebihi 10 peratus. Walaupun begitu , ujar Dr. Fatimah, faktor yang mungkin relevan dalam konteks ini ialah penghijrahan golongan muda dari negeri-negeri lain ke Kuala Lumpur dan Selangor.
Disamping itu faktor penyumbang gejala ini ialah kerana tidak mengamalkan Islam, keruntuhan rumah tangga ibu bapa, persekitaran sosial yang bebas, termasuk mangsa rogol, dadah dan gaya hidup.
Kalaulah kaum Nabi Lut yang terlibat dengan homoseks ditimpakan bala oleh Allah maka tidak mustahil kita juga berdepan dengan kemurkaan Allah. Dengan merebaknya berbagai-bagai berjangkit seperti Aids, H1N1, denggi juga malapetaka seperti panas yang melampau, gempa bumi,banjir, thunami, ribut taufan, pembunuhan yang menjadi-jadi dan banyak lagi , mungkin itu adalah merupakan bala Allah s.w.t.
Maka sedar dan insaflah kita. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah perlaksanaan undang-undang jenayah syariah perlu dilaksanakan, penguatkuasaan undang-undang , penerangan, kempen, dakwah bagi menyedarkan orang ramai adalah amat perlu bagi memastikan gejala ini dapat dibendung dan dikurangkan.
Ingatlah firman Allah s.w.t dalam Al-Quran:
" Dan janganlah kamu hampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israk : 32)
" Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hokum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman" ( Surah An-Nur: 2)
Susunan :
Ustaz Khairuddin Haiyon
Unit Penerangan dan Penerbitan
Bahagian Dakwah JAIS