Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenainya.
"Kita memang ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan awal mendapati bayi berkenaan koma, dipercayai akibat dibaling bapanya.
“Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri selepas kejadian itu dan setakat ini, polis masih belum menangkap bapa bayi itu yang berusia awal 30-an untuk membantu siasatan.
“Kes ini juga sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya di sini, semalam.
Difahamkan, bayi berkenaan dikejarkan ke Hospital Melaka oleh keluarganya selepas didapati tidak sedarkan diri, selain mengalami bengkak pada kepala sejurus kejadian berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu dikesan mengalami pendarahan dalaman otak dan terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas itu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sehingga petang semalam, keadaan mangsa masih kritikal dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.
Aduan mengenai kejadian menimpa bayi itu dibuat seorang doktor di Hospital Melaka pada kira-kira jam 1 pagi sejurus mengesyaki ia menjadi mangsa penderaan.
Berita Harian difahamkan bayi itu adalah anak tunggal lelaki terbabit dan isterinya yang juga berusia awal 30-an.
Raja Shahrom meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pihaknya dengan segera bagi membantu siasatan.