Kenyataan Harian Metro Sabtu, 11 Disember 2010
KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.
Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.
“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.
Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.
“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.
“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.
Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.
“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.
Kenyataan Harian Metro Rabu, 15 Disember 2010
'Haram tetap haram'
KUALA LUMPUR: “Pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) adalah salah, haram tetap haram,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, (gambar) ketika mengulas kenyataannya dalam Harian Metro terbitan Sabtu lalu.Menurutnya, masyarakat diminta tidak salah faham dengan kenyataan beliau yang disiarkan akhbar ini terdahulu, seolah-olah beliau mengatakan pekerjaan Suzie sebagai GRO adalah tidak salah.
“Pekerjaan GRO itu memang haram dan tidak boleh dilakukan oleh kita sebagai umat Islam. Maksud saya di sini ialah, jangan hanya tahu memaksa Suzie berhenti, tetapi apa peranan kita (pembaca) untuk mencarikan pekerjaan lain kepadanya. “Jangan terus menghina dan mencaci wanita yang bekerja sebagai GRO sebaiknya kita mencari alternatif untuk membantu wanita seperti itu mendapatkan pekerjaan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, masyarakat perlu membantu golongan seperti itu keluar daripada kepompong dosa dengan membantu mereka mencarikan kerja yang berkat.
Masyarakat tidak seharusnya tahu menghukum tetapi dalam masa yang sama perlu mencari alternatif terbaik untuk membantu.
“Jangan menghina GRO. Mereka yang sudah menyesal dan sempat bertaubat kita cuba bantu mereka. Tidak baik menghina dan mencaci mereka. Jangan terus menghukum tetapi hulurkan tangan memberi bantuan dan kasih sayang,” katanya.
Terdahulu, beliau menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie supaya bersama-sama menadah tangan mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.