FOTO McMenemy memeluk Rahma ketika berparti. |
JAKARTA: Aktres Indonesia, Rahma Azhari berparti dengan jurulatih bola sepak Filipina, Simon McMenemy sehari selepas Indonesia menundukkan Filipina, 1-0 buat kali kedua dalam perlawanan separuh akhir Piala Suzuki Persatuan Bola Sepak Asia (IAFF), mencetuskan kontroversi selepas ia tersebar melalui Twitter.
Gambar mereka dikirimkan melalui akaun Twitter Rahma @RaAzhari kelmarin, tetapi tidak dapat dipastikan di mana lokasi parti itu. Satu daripada gambar terbabit menunjukkan Rahma dan jurulatih British berusia 33 tahun itu berdiri bersebelahan sambil McMenemy memeluk aktres terbabit.
Gambar itu mencetuskan spekulasi mengenai hubungan mereka dan sudah sampai ke Filipina. Bagaimanapun, Rahma menegaskan, Mcmenemy hanyalah sekadar ‘kawan’.
“Beliau hanya seorang kawan. Seorang yang amat baik. Gembira dapat bertemu beliau. Seronok sekali!” katanya melalui Twitter terbabit.
Dalam kiriman Twitter lain, Rahma menjelaskan, McMenemy yang cuba mendekatinya.
“Apa perlu saya buat? Beliau sendiri mahu berjumpa dan berkawan dengan saya. Saya tidak fikir ia salah,” katanya.
Dia juga turut memetik sebuah rancangan televisyen mengendalikan temu bual telefon dengan isteri pemain bola sepak Indonesia pagi kelmarin.
“Tak mahukah anda menghubungi saya juga? Marah saja jurulatih Filipina!” katanya. Beberapa pengguna Twitter yang lain pula mengaku cemburu terhadap Rahma.
“Kepada anda yang jatuh cinta dengan McMenemy, anda kehilangannya kepada Rahma Azhari,” tulis @riasher. – Agensi