Saturday, December 11, 2010

Home » » Rosak Hati Rosaklah Akal

Rosak Hati Rosaklah Akal



Hasad, menurut takrif kamus, adalah dengki, cemburu dan disertai niat jahat. Dan hal ini sebenarnya berlaku di dalam hati kita. Dari hati ia naik ke akal dan kemudian keluar dalam bentuk pengucapan dan perbuatan.


Semua orang tahu bahawa Islam melarang hasad dengki. Apatah lagi kalau hasad dengki itu berlaku sesama orang Islam. Hasad dengki adalah sejenis penyakit hati yang teruk. Kalau ia tidak diubati ia akan membawa padah yang besar, terutama kepada penghasad itu. Hatinya akan menjadi rosak.

Kerosakkan hati adalah sesuatu yang paling celaka. Jika hatinya rosak maka rosaklah seluruh rohani dan akal seseorang itu. Akhirnya, jasmaninya juga akan rosak binasa.

Oleh kerana hasad dengki adalah sejenis penyakit hati, maka akibatnya adalah sangat merbahaya. Kita bimbang jikalau dalam hati kita ada penyakit, maka Allah akan menambah penyakitnya. Dengan itu, hati kita akan menjadi rosak dan buta.

Bila ini terjadi, kita bimbang Allah akan menutup dan mengunci hati kita. Dengan itu, akal, pendengaran dan penglihatan kita juga akan turut tertutup. Kerana sesungguhnya yang buta itu bukan mata, tetapi hati di dalam dada.

Kalau kita ingin diri kita maju, bangsa kita maju dan negara kita maju, maka kita hendaklah mencari jalan untuk mengatasi masalah penyakit hati yang semakin semarak ini. Kalau ia dibiarkan terus merebak, maka akibatnya ia akan memusnahkan bangsa kita.

1 comments:

Yuni Aisyah said...

jauhkanlah dari sifat dengki mendengki nie...xyah nak dengki2...mmg wat sakit jiwa je..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update