Akan Kembali Lagi |
BAITULMAQDIS - Sebuah kumpulan hak asasi manusia mendedahkan beberapa gambar terbaru menunjukkan tentera Israel menghina tahanan Palestin termasuk menconteng rumah penduduk semasa perang Gaza pada 2008 hingga 2009, Isnin lalu.
Salah satu daripada gambar itu menunjukkan tentera Israel melukis simbol Zionis, Star of David dan menulis perkataan 'Akan Kembali Lagi' menggunakan cat penyembur pada dinding sebuah rumah.
Pendedahan itu dilakukan oleh pertubuhan Breaking the Silence yang dianggotai bekas pegawai tentera Israel.
Penaung pertubuhan itu, Yehuda Shaul berkata, puluhan gambar penghinaan diterima daripada bekas tentera Israel yang berkhidmat di kawasan Palestin.
"Perbuatan ini adalah sesuatu yang dianggap biasa bagi tentera Israel kerana mereka mengawal dan memerintah orang awam setiap hari," katanya.