Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
IMEJ puting beliung yang dirakam oleh seorang pemandu di Jalan Kangar-Arau kelmarin.
KANGAR – “Saya dengar bunyi menderu serta lihat macam ada benda putih di luar rumah dan dalam sekelip mata pintu hadapan rumah saya pecah manakala bumbung diterbangkan angin.”
Demikian cerita Rohana Abdul Rahman, 52, ketika menghadapi detik-detik cemas ‘serangan’ puting beliung yang merosakkan rumahnya di Taman Sri Lancang di sini lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, lebih 30 buah rumah rosak di lima buah kampung di sini akibat pusaran angin puting beliung tersebut yang dikesan bermula dari arah Arau sebelum menuju ke arah Kangar dan membadai rumah-rumah, pokok serta kenderaan.
Kawasan yang terlibat ialah di Kampung Pulau Jejawi, Kubang Gajah, Alor Lancang, Padang Petani dan Taman Sri Lancang melibatkan 1,200 penduduk.
Rohana berkata, ketika kejadian, dia berada seorang diri di rumah dan terdengar bunyi bising serta rumahnya bergegar.
“Saya sendiri nampak puting beliung itu menuju ke rumah saya menyebabkan bumbung tercabut dan merosakkan pintu kaca serta pagar rumah.
“Ketika itu saya sangat takut sebab berada seorang diri di rumah, mujurlah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya yang tinggal bersama suami dan seorang anak perempuan, Raja Raine Shasha Raja Shariman, 30, kakitangan Universiti Malaysia Perlis.