Wednesday, November 3, 2010

Home » » Hukuman Mati Ke Atas Pembunuh Along Spoon

Hukuman Mati Ke Atas Pembunuh Along Spoon






PUTRAJAYA - Seorang anggota polis tetap menjalani hukuman mati selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh penyanyi kumpulan Spoon, 11 tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang mendapati Lans Koperal Mohamed Ya’cob Demyati bersalah terhadap tuduhan membunuh Sabi’ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Sewaktu keputusan itu diumumkan, Mohamed Ya’cob, 44, dari cawangan pengawal pengiring Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, kelihatan tenang.

Abdull Hamid yang mengumumkan keputusan itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah apabila menerima maklumat daripada Mohamed Ya’cob mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan yang membawa kepada penemuan mayat Along, di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras.

Abdull Hamid berkata, selain maklumat mengikut Seksyen 27 itu, terdapat keterangan mengikut keadaan yang membawa kesimpulan bahawa Mohamed Ya’cob telah membunuh Along.

"Terdapat keterangan menunjukkan bahawa Mohamed Ya’cob merupakan orang terakhir bersama dengan si mati, malah seorang saksi pendakwa, Mohd Fadzil Mohd Yatim juga telah memberi keterangan bahawa dia telah diminta oleh Mohamed Ya’cob untuk meninggalkan mereka (Ya’cob dan Along) di tempat di mana mayat Along ditemui kemudian.

"Selain itu, terdapat keterangan bahawa Mohamed Ya’cob menyoal si mati berkali-kali dengan suara yang keras tentang hubungannya (Along) dengan isterinya (Ya’ cob)," katanya.

Mohamed Ya’cob, yang merupakan pengawal peribadi kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10 dan ke-11 pada 1999, didakwa membunuh penyanyi berumur 19 tahun itu di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.

Along yang popular dengan lagu 'Rindu Serindu-Rindunya' dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 dan polis kemudian menjumpai rangka manusia dipercayai penyanyi itu, yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, pada 6 Januari 2000.

Pada 29 Ogos 2008, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamed Ya’cob terhadap sabitan dan hukuman mati yang dihadapinya.

Dalam keputusannya itu, Abdull Hamid tidak bersetuju dengan hujah peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohamed Ya’cob bahawa anak guamnya tidak diberikan satu perbicaraan yang adil kerana Hakim Mahkamah Tinggi telah mengambil kira-kira lima tahun dan lima bulan untuk menyediakan asas penghakimannya.

Abdull Hamid berkata, bukan semua kelewatan boleh membatalkan semua prosiding mahkamah.

"Mahkamah Tinggi telah memberikan keputusannya pada 10 April 2002, iaitu sebulan, empat hari selepas selesai mendengar perbicaraan kes itu.

"Maka, tidak boleh mengaitkan isu kelewatan dengan hak Mohamed Ya’cob untuk mendapatkan perbicaraan yang adil," katanya.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, Mohamed Ya’cob memberitahu Mohd Fadzil bahawa dia mensyaki isterinya ada hubungan dengan si mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update