Thursday, December 16, 2010

Home » » Hantaran tanda kegembiraan untuk hidup bersama

Hantaran tanda kegembiraan untuk hidup bersama



SEMUA orang perlu mengetahui bahawa hantaran bukanlah mas kahwin. Mas kahwin adalah ketetapan syariat dan wajib dibayar sementara hantaran adalah ketetapan adat yang menjadi budaya turun-temurun. Hantaran terbahagi dua bentuk iaitu wang tunai dan barangan.

Secara mudah hantaran merupakan hadiah pemberian suami atau isteri kepada pasangannya sebagai tanda persetujuan dan kegembiraan untuk hidup bersama. Kebiasaannya sebahagian daripada hantaran ini akan diberikan pada hari pertunangan dan sebahagian lagi akan diberikan pada hari akad nikah dijalankan.

Barangan hantaran inilah yang mesti dipulangkan semula sama ada dalam bentuk asal atau nilainya sekiranya berlaku pemungkiran pertunangan iaitu pertunangan diputuskan dan perkahwinan dibatalkan.

Hantaran bukan wajib tetapi tidak haram diadakan. Malah, ketetapan adat ini diterima pakai sebagai satu kewajipan bukan saja sebagai tanda menerima pasangan tetapi juga sebagai permulaan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri.

Hantaran tidak perlu mahal, sudah nama pun sebagai hadiah, biarlah jumlah hantaran dalam kemampuan pihak terlibat. Jika untuk melunaskan hantaran memaksa pihak-pihak terlibat berhutang, pasti lebih sukar dan payah untuk meneruskan kehidupan selepas bergelar suami isteri sedangkan hakikatnya kehidupan sebenar suami isteri bermula selepas sah ijab dan kabul.

Ramai ahli masyarakat kini yang berbangga bila hantaran anaknya tinggi tanpa mempedulikan cara yang digunakan oleh bakal menantu untuk memenuhi kehendak tersebut.Disebabkan kita hari ini lebih cenderung mengikuti lenggok langkah masyarakat sekitar, kesannya ditanggung oleh raja sehari itu pada belakang hari.

Ini kerana pasangan tersebut memasuki alam rumah tangga dengan masalah kewangan (hutang untuk memenuhi tuntutan hantaran) dan semua maklum masalah kewangan adalah pemangkin kepada masalah perkahwinan lainnya. Apakah ini yang ibu bapa inginkan?

Jika hantaran disepakati oleh kedua-dua pihak tetapi ada pihak yang ingkar atau gagal menyelesaikan jumlah yang dipersetujui tersebut hingga perkahwinan berakhir, pihak yang satu lagi berhak menuntut agar jumlah yang belum dilunaskan tersebut dibayar. Ya! Hantaran yang disepakati tetapi tidak dipenuhi boleh menjadi hutang yang perlu dibayar.



P\S : Jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

1 comments:

she having all..tQ Allah said...

betul2..
saya setuju
mak saya sendiri cakap yang dia tak penah nak letakkan berape jumlah hantaran yang perlu tunang saya berikan.. sbb bagi mak saya ckup la tunang saya berjanji untuk mendidik anak perempuan dia ke arah lebih baik..
wpun saudara2 lain membantah dan mennyuruh meletakan hantaran yang tinggi sbb sy seorang berkelulusan universiti..
bg saya. perkahwinan saya..
doa mak saya lebih penting..
amin..semoga kami berjaya menempuh badai di masa akan datang

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update