Saturday, February 12, 2011

Home » » Akademi Fantasia (AF) 9 - Amy Search ganti Ahmad Dhani?

Akademi Fantasia (AF) 9 - Amy Search ganti Ahmad Dhani?

Jawatan pengetua bagi rancangan realiti popular, Akademi Fantasia (AF) sering menjadi perdebatan hangat. Sejak memulakan siaran pada musim pertama hingga kelapan, ‘kerusi panas’ itu sentiasa menjadi tumpuan penonton setia AF dan pemerhati dunia seni.

Terbaru, medan terakhir AF9 turut mengalami nasib yang sama, apabila Astro dikatakan bakal mengambil pengetua dari seberang, iaitu Ahmad Dhani daripada kumpulan Dewa19.

Bagi segelintir pihak, tindakan Astro itu dilihat sewenang-wenangnya membuka laluan yang mudah terhadap artis luar dan seolah-olah meminggirkan kehebatan karyawan dan penggiat seni tanah air sendiri.

Lebih menjadi pertikaian, apabila imej dan kredibiliti Ahmad Dhani tidaklah seindah mana, walaupun di negaranya sendiri. Gosip percintaannya dengan Mulan menimbulkan pelbagai persepsi sehingga ramai yang menganggapnya tidak layak untuk duduk di kerusi pengetua AF.

Malah, ada desas-desus mengatakan Astro terpaksa membatalkan keputusan pelantikan Ahmad Dhani kerana tertekan dengan kekecohan yang timbul. Seiring itu juga tersebarnya berita, penyanyi lagenda rock tanah air, Amy Search, pula bakal menduduki kerusi panas itu.

Pengurus Saluran Astro RIA, Azlin Reza Azmi ketika dihubungi enggan mengesahkan mengenai perkara itu. Namun, beliau tidak menafikan Astro sentiasa berfikiran terbuka dan mengambil kira pandangan orang ramai mengenai pemilihan pengetua AF.

“Tidak dinafikan jawatan pengetua selalu menimbulkan spekulasi dari musim pertama lagi dan Astro menganggapnya ia adalah satu perkara biasa.

“Sebab itulah, pihak kami turut mengambil pandangan masyarakat berhubung kriteria pemilihan pengetua, selain ciri-ciri yang ditetapkan Astro sendiri iaitu mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik,” katanya.

Azlin juga tidak menolak dakwaan bahawa jawatan pengetua AF akan terus menjadi perbualan selagi pengumuman rasmi belum dibuat Astro.

Bagaimanapun, Azlin tetap mengambil tindakan mengunci mulut dan berharap semua pihak bersabar menunggu pengumuman rasmi yang bakal dibuat Astro kelak.

“Sama ada Astro sudah sah mempunyai calon atau masih membuat pemilihan, saya tidak boleh mengulas lanjut.

“Apa yang pasti, kita sudah bersedia dengan sebarang kritikan apabila mengumumkan jawatan itu nanti. Ini kerana, Astro yakin pengetua yang dipilih mampu galas tanggungjawab dengan baik tidak kira individu itu dari Indonesia atau Malaysia,” katanya.

Bagi pihak Amy Seacrh, isterinya, Hasniza Hassan atau Norish menegaskan sehingga ke saat ini, suaminya itu masih belum menerima apa-apa tawaran daripada Astro berkaitan AF.

Malah Norish berkata, mereka juga tidak menerima apa-apa panggilan melainkan urusan persembahan pentas saja. Norish juga hairan bagaimana spekulasi yang mengaitkan Amy dan kerusi panas AF itu mula tersebar.

“Daripada segala spekulasi mengenai kerusi panas AF itu, saya ingatkan Ahmad Dhani yang akan dipilih. Tetapi tidak pula saya dengar Amy yang akan dipilih menjadi Pengetua. Kerana sehingga kini masih tidak ada perbincangan antara pihak Astro dan kami. Jadi bagaimana pula orang luar boleh mengatakan Amy Search yang akan menjadi Pengetua,” jelas Norish kepada Sinar Harian.

Norish juga meminta agar semua pihak tidak lagi membuat spekulasi yang bukan-bukan dan sabar menanti keputusan yang akan dikeluarkan Astro kelak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update