SEUMUR hidupnya, rambut tidak pernah dibiar pendek atau diwarnakan meskipun kebanyakan gadis seusianya terutama yang membesar di ibu kota, menjadikan fesyen rambut sebagai satu cara ekspresi diri.
Sebaliknya Lisa Surihani Mohamed, 25, selesa dengan penampilan seadanya penuh kesederhanaan. Pun begitu, gadis cantik ini tidak keberatan untuk memotong pendek rambut atau membotakkan kepalanya jika itu yang dituntut dalam menjiwai sesuatu watak juga demi kepuasan dalam lakonan. Namun, ia mestilah bersyarat! "Saya tidak kisah melakukannya, tetapi ia bergantung pada bayaran yang ditawarkan. Jika bayaran bagus, mengapa tidak. Selain bayaran, saya juga perlu mengambil kira watak yang ditawarkan, apakah berbaloi untuk berbuat demikian. "Kalau watak yang diberi bagus, jalan ceritanya bagus dan diarahkan pengarah yang diyakini kemampuan, tentu saja saya sanggup berkorban walaupun rambut masih dara kerana tidak dipotong pendek atau diwarnakan," katanya.
Ditemui di Langkawi sempena percutian ekslusif Gemilang Bersama Bintang tajaan POTO Travel & Tours Sdn Bhd (POTO) yang turut disertai dua selebriti terkenal, Shaheizy Sam dan Faizal Ismail, baru-baru ini, Lisa juga teruja bercerita watak idamannya dan mudahan angan menjadi kenyataan pada 2011 ini.
"Saya pernah nyatakan ini tahun sudah, saya mencari watak yang jauh dari sanubari. Erti kata lain bertentangan dengan sifat-sifat yang saya ada. Misalnya, gadis bisu dan watak yang menyerlah sudut artistik seorang pelakon. "Saya kepingin melakonkan watak yang memerlukan saya menjalani ujian stamina untuk mengubah bentuk badan mengikut tuntutan watak yang dikehendaki. "Saya sukakan cabaran seperti ini kerana ia bukan saja memerlukan seseorang pelakon membuat persiapan mental, tetapi juga fizikal," katanya.
Saturday, February 12, 2011
Lisa sanggup botak kepala
2011-02-12T12:00:00+08:00
alissa
Gosip Artis|