Monday, March 14, 2011

Home » » Risiko Risiko Maut Yang Ada Di Rumah

Risiko Risiko Maut Yang Ada Di Rumah

TIDAK ramai yang tahu bahawa kebanyakan kes kematian kanak-kanak di rumah adalah berpunca daripada keracunan secara tidak sengaja.

Mengikut kajian yang dijalankan Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (IPHKL), sepanjang 1990-an, hampir 84 peratus kes kemalangan di rumah adalah berkaitan keracunan, lapan peratus disebabkan patah tulang diikuti melecur lima peratus dan luka tiga peratus.

Keadaan ini mungkin tidak banyak berubah di zaman milenium ini. Mengikut kajian yang sama, lebih 80 peratus daripada kes kemalangan itu membabitkan anak-anak berumur di bawah enam tahun.

Ini menunjukkan mereka memerlukan orang dewasa untuk memastikan keselamatan di rumah terjamin.

Menurut Perunding Keibubapaan Bertauliah, Zaid Mohamad, yang juga penulis buku Ibu Bapa Bijak, Anak Hebat, rumah sepatutnya menjadi tempat perlindungan kanak-kanak dan bebas daripada risiko kecederaan fizikal dan mental.


Menjadi tanggungjawab ibu bapa mengambil langkah proaktif sebelum kemalangan berlaku. Ini hanya mengambil masa beberapa saat saja untuk anak-anak ditimpa bencana, namun kesannya mungkin kekal seumur hidup.

Ibu bapa juga perlu bijak menilai apa yang dilihat oleh anak-anak kecil di bawah usia enam tahun daripada sudut pandangan mereka.

Bagi ibu bapa bekerja, risikonya akan meningkat dua atau tiga kali ganda.
Justeru, usaha membina rumah yang selamat hendaklah dibuat secara kerjasama dengan semua ahli rumah, termasuk adik-beradik yang sudah besar dan pembantu rumah.

Menurutnya, ibu bapa sering terlupa anak-anak kecil mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Bagi mereka, semuanya nampak sangat menarik dan ingin dicuba.

Langkah proaktif yang boleh diambil bergantung kepada jenis risiko itu sendiri seperti:

Risiko
-Keracunan
-Ubat-ubatan cecair
-Pil
-Bahan kimia
-Racun
-Bahan pencuci rumah
-Minyak enjin motor dan kereta


Apa yang anak-anak kecil ini lihat daripada pandangan mereka?
- Sesuatu yang berwarna-warni, menarik perhatian dan nampak sedap. Pil ubatan dianggap seperti gula-gula.
Mereka juga mencontohi orang dewasa yang mengambil ubatan terbabit dan ingin mencubanya dengan meminum sendiri, satu dos yang kecil saja boleh membawa musibah.
- Seperkara lagi, anak-anak kecil amat bangga dan suka jika mereka boleh menolong ibu bapa membersihkan rumah atau membaiki kereta. Bahan kimia yang digunakan boleh membawa kecelakaan kepada mereka.

Langkah proaktif perlu diambil bersama oleh seluruh penghuni rumah termasuk pembantu rumah
- Simpan di tempat tinggi dan tertutup dari pandangan.
- Biarkan di dalam bekas asal.
- Jangan sesekali menyimpannya di dalam bekas yang pernah digunakan untuk menyimpan makanan.
- Elakkan dari mereka melihat kita mengambil ubatan kerana mungkin mereka akan meniru.
- Galakkan mereka membantu kerja anda di rumah tetapi pastikan tugas itu selamat dan sentiasa di bawah pemerhatian anda. Dengan cara itu, mereka berasa puas hati dan tidak mahu lagi mencubanya sendirian.


Risiko
Barangan dapur

-Tong gas
-Periuk dan kuali bertangkai
-Cerek air panas
-Barangan kaca
-Lantai licin, basah dan berminyak
-Barangan tajam
-Laci kabinet terbuka

Apa yang anak-anak kecil ini lihat daripada pandangan mereka?

- Anak-anak akan nampak semua ini sebagai barang permainan menarik. Pisau dan garfu boleh dijadikan pedang.
- Bagi anak perempuan, mereka juga tertarik untuk mencuba memotong atau memasak di dapur.
- Sikap ingin tahu yang membuak-buak terutama apabila cerek berbunyi atau masakan menggelegak.
- Mereka juga suka menyelongkar di dalam laci untuk mengetahui isi kandungannya.

Langkah proaktif mesti diambil bersama oleh seluruh penghuni rumah termasuk pembantu rumah:
- Simpan benda-benda berbahaya, tajam dan mudah pecah di tempat terkunci atau tinggi.
- Galakkan mereka bermain dengan barang permainan yang lebih sesuai.
-Jika mereka ingin membantu, jangan halang tetapi galakkan mereka dengan memberi tugas yang selamat seperti mengasingkan bahan, menepuk tepung dan membersihkan sayur.
- Pastikan dapur sentiasa kemas, bersih dan kering selepas digunakan.
- Tangkai periuk dan kuali hendaklah diarahkan ke dalam, bukannya keluar dan senang dicapai.
- Pastikan wayar elektrik tidak mudah dicapai dan masih berkeadaan baik untuk mengelakkan kejutan.


Risiko
Takungan air

Apa yang anak-anak kecil ini lihat daripada pandangan mereka
- Sesuatu yang amat menggembirakan! Pantang Nampak.

Langkah proaktif mesti diambil bersama oleh seluruh penghuni rumah termasuk pembantu rumah:
- Jangan sesekali biarkan baldi atau bekas air yang berisi dibiarkan begitu saja.
- Jika sedang memandikan anak, jangan tinggalkan dia bersendirian walaupun hanya beberapa saat.

Risiko
Kejutan elektrik

Apa yang anak-anak kecil ini lihat daripada pandangan mereka?
- Lubang plag elektrik seakan-akan mengundang untuk dicucuk-cucuk.

Langkah proaktif mesti diambil bersama oleh seluruh penghuni rumah termasuk pembantu rumah:
-Tutup lubang plag dengan peralatan khas terutamanya jika ia di paras lantai.
-Jangan biarkan peralatan dan wayar elektrik terbuka tanpa kawalan.


Banyak lagi bahaya yang menunggu di rumah jika ibu bapa tidak peka. Jika ibu bapa menyayangi anak-anak, ini adalah langkah asas dalam memastikan keadaan fizikal mereka sentiasa selamat.

Setelah rumah selamat, barulah kita boleh menumpukan perhatian untuk membina sahsiah, kerohanian dan intelektual mereka di samping menguatkan ikatan perhubungan kasih sayang sesama keluarga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update