PERNAHKAH anda berasa sakit kepala, pandangan kabur, muntah-muntah dan sering lupa? Jika ya anda harus segera berjumpa doktor kerana dikhuatiri ia mungkin antara gejala awal barah otak.
Barah otak antara penyakit paling digeruni masyarakat dunia selain barah payudara. Ia boleh menyerang sesiapa tanpa mengira umur dan jantina sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Apakah penyebab barah otak?
Sehingga kini penyebab kanser otak masih belum ditemui namun pengkaji masih mencari jawapan kepada masalah ini.
Antara faktor utama ditemui adalah genetik, keturunan, persekitaran dan bahan kimia.
Apakah faktor yang boleh meningkatkan risiko barah otak?
Tidak terdapat faktor risiko yang jelas di kalangan pesakit yang menghidap barah otak. Kajian dijalankan mendapati sesetengah jenis barah otak lebih kerap berlaku kepada pekerja kilang penapis minyak, industri pembuatan bahan getah dan dadah selain ahli kimia.
Bagaimana insiden penyakit ini?
Barah otak boleh berlaku pada semua lapisan umur, namun kajian menunjukkan terdapat dua kumpulan umur lebih biasa mengalaminya iaitu kanak-kanak (tiga hingga 12 tahun) serta golongan dewasa (40 hingga 70 tahun).
Apakah gejala barah otak?
Sakit kepala yang teruk terutama di sebelah pagi berbanding tengah hari.
Sakit kepala berterusan diikuti loya dan muntah
Pandangan kabur
Sering lupa
Epilepsi (sawan, kekejangan otot dan tidak sedarkan diri)
Gangguan percakapan
Kesukaran menggerakkan kaki dan tangan
Gangguan ingatan atau perubahan personaliti
Kerap diserang sakit kepala
Gejala di kalangan kanak-kanak
Loya dan muntah
Gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda atau juling
Gangguan makanan
Sebelah tangan menjadi lemah dan kekok
Perubahan pada gaya berjalan seperti terhincut
Kesukaran berjalan
Letih dan lemah badan
Peningkatan berat badan
Perubahan pada endokrin
Apakah rawatan yang dijalankan bagi mengesan barah otak?
Biasanya doktor akan membuat diagnosis melalui pemeriksaan neurologi termasuk ujian mental, pemeriksaan mata, ujian pendengaran, kuasa dan pemeriksaan saraf kranial dan lain-lain. Selain itu doktor akan melakukan pemeriksaan menggunakan alat pengimbas tomografi berkomputer iaitu sejenis alat sinar-X menggunakan komputer untuk memaparkan struktur otak terperinci.
Biopsi- kaedah ini dilakukan bagi mengesahkan kewujudan tumor otak disamping menentukan jenis histologi tumor.
Pengimbas Pet (Positron Emission Tomography)- alat ini menggunakan bahan gula yang dirawat menggunakan bahan radioaktif deoksiglukosa. Bahan ini akan disuntik dalam vena dan proses pengimbasan dilakukan.