Wednesday, October 6, 2010

Home » » 'Membunuh' setiap empat minit

'Membunuh' setiap empat minit



UMUM mengetahui kanser serviks atau pangkal rahim adalah antara pembunuh paling bahaya kepada golongan wanita, malah ia adalah kanser yang ketiga paling lazim dihidapi selepas kanser payu dara dan usus

Di negara ini, statistik menunjukkan kanser ini meningkat mencapai angka yang membimbangkan yang mana 12.2 orang bagi setiap 100,000 wanita didiagnos dengan kanser pangkal rahim.

Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Saunthari Somasundram mendedahkan kematian melibatkan kanser lebih tinggi berbanding kelahiran baru.

Malah di Asia, kanser pangkal rahim membunuh wanita dalam tempoh setiap empat minit.

Tegas beliau lagi, setiap tahun dianggarkan 500,000 wanita di seluruh duni menghidap kanser pangkal rahim yang menyebabkan 270,000 kematian.

''Kajian mendapati 50 hingga 80 peratus wanita mendapat jangkitan virus human papilloma (HPV) pada satu-satu masa sepanjang hayat mereka dan 50 peratus daripada jangkitan itu berakhir dengan kanser pangkal rahim.

"HPV yang menjadi punca kanser pangkal rahim, berjangkit melalui hubungan seks dan risiko seseorang wanita mendapat kanser tersebut bermula daripada kali pertama dia mengadakan hubungan seks.

"Malah jangkitan juga boleh berlaku hanya dengan sentuhan kulit ke kulit pada bahagian kemaluan.

"Lebih kerap seseorang wanita itu mengadakan hubungan seks, maka makin tinggilah risikonya untuk mendapat penyakit ini.

''Ditambah pula sekiranya mereka kerap bertukar-tukar pasangan atau jika si suami mempunyai pasangan lain,'' ujarnya.

Menurut Dr. Saunthari, dalam setiap sejuta wanita yang dijangkiti HPV, dianggarkan 10 peratus atau 100,000 orang akan mengalami perubahan tidak normal (sel pra kanser atau servikal displasia).

Ini adalah peringkat awal kanser pangkal rahim tetapi lebih 50 peratus kes displasia biasanya akan hilang dengan sendiri.

"Bagaimanapun, lapan peratus (8,000) wanita yang mempunyai sel tidak normal ini akan mendapat kanser pangkal rahim dan 1,600 daripadanya adalah kanser yang cepat merebak.

"Yang lebih membimbangkan ialah, kanser pangkal rahim ini tidak mempunyai gejala dan biasanya penyakit dikesan apabila sudah teruk," katanya.

Dr. Saunthari juga mahu membetulkan tanggapan orang ramai bahawa kanser pangkal rahim hanya dihidapi wanita yang sudah berusia.

Sebaliknya ia menyerang wanita tanpa mengira mereka tua atau muda dan biasanya ia tidak hanya menjejaskan kehidupan wanita berkenaan tetapi turut memberi pengaruh besar kepada keluarga dan keseluruhan kehidupan.

''Kematian akibat kanser pangkal rahim juga sebenarnya boleh dicegah dan penyakit itu juga boleh dikesan dengan mudah jika pesakit membuat pemeriksaan awal," katanya.

Atas sebab itu juga menurut beliau, NCSM dengan disokong penuh oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd (GSK) melancarkan apa yang dikenali sebagai kempen Menguasai Kanser Pangkal Rahim (POCC) sejak tahun lepas.

''Kempen ini dilancarkan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada semua wanita mengenai bahaya penyakit ini supaya mereka tahu risiko dihadapi," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Kempen Cegah Barah Pangkal Rahim Dengan Bergaya Bersama Rakan Karib (BFF) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kempen baru itu merupakan lanjutan daripada POCC yang bertujuan memberi dan menggalakkan rakan dalam menyebarkan mesej perlindungan serta mengurangkan risiko kanser pangkal rahim.

''Melalui kempen ini ia mampu mendekatkan remaja dalam menyampaikan mesej untuk mengurangkan risiko terhadap kanser ini," katanya.

Akui Dr. Saunthari lagi, pelancaran kempen ini juga adalah hasil pelaksanaan kempen kesedaran yang dilakukan pada tahun lepas.

Melalui penyebaran kempen ini diharapkan ia mampu memberi kesedaran kepada orang sekeliling terutama kawan karib tentang bahayanya penyakit ini.

''Kita perlu sedar bahawa kita semua boleh memainkan peranan dengan azam untuk melindungi wanita yang kita kasihi.

"Setiap wanita berhak untuk dilindungi dan kempen cegah kanser pangkal rahim dengan bergaya bersama BFF memberikan kita peluang yang lebih luas dalam usaha kita untuk mencegah penyakit ini,'' tegasnya lagi.

Melalui kempen ini, satu ikrar foto telah diperkenalkan bagi mendapatkan komitmen rakyat Malaysia terutama remaja bagi melindungi rakan karib dalam menentang kanser ini.

Pelancaran ini juga akan menyaksikan perubahan terkini lawan web POCC yang mempunyai muka surat interaktif untuk membolehkan penghantaran ikrar foto dan cerita.

Malah menurut Dr. Saunthari lagi maklumat komprehensif mengenai kanser ini juga turut dimuatkan melalui video yang menarik.

Selain itu, turut disertakan ialah soaljawab mengenai risiko dan strategi membolehkan pelawat ,mempelajari mengenai cara mereka melindungi diri masing-masing.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update