Ryan Chong Yiing Yih, 32, menambah, beliau telah membawa Isobel, 2, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan darah di sebuah klinik di Petaling Jaya, dekat sini selepas mengesyaki perkara tersebut.
"Sampel spesimen tersebut kemudian dihantar ke Australia untuk diuji dan daripada laporan perubatan tersebut menerangkan bahawa saya bukan bapa kepada Isobel," katanya.
Katanya lagi, darah beliau dan Daphne adalah jenis O tetapi Isobel mempunyai darah kumpulan A.
Terdahulu, Ryan yang memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini Jumaat, memaklumkan perasaan syak timbul selepas terbaca e-mel antara Daphne dengan Darren Choy Khin Ming di komputer bekas isterinya.
Katanya lagi, dalam e-mel itu Daphne menulis bahawa seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Kamajit telah memberitahu bahawa wajah Isobel mirip dengan wajah Darren, seorang ahli perniagaan.
Pada prosiding sama, Ryan turut mengemukakan kiriman e-mel dan salinan perbualan antara Daphne dan Darren yang didakwa berlaku di ruang siber.
Antara e-mel tersebut bertarikh antara 13 September 2006 dan 3 Jun 2008 dan mengandungi ayat-ayat seperti ‘I love you’ dan ‘you are my baby’.
Ryan juga memberitahu, beliau mengetahui Daphne dan Darren ada membuat rancangan untuk bercuti di Indonesia untuk melakukan hubungan intim.
Turut dikemukakan di mahkamah ialah invois percutian di sebuah hotel di Bali, Indonesia yang didakwa antara Daphne dan Darren.
Ryan sedang memberi keterangan terhadap Darren, 45, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman peribadinya kerana didakwa memikat Daphne yang semasa itu masih berstatus isterinya.
Ryan berkahwin dengan Daphne pada 27 Januari 2007 di Bali.
Darren didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat supaya Daphne atau nama sebenarnya Daphne Eleanor Iking, 31, melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di B-13-2, The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail, di sini, antara Julai 2007 dan September 2008.
Darren dipercayai merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jka sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Ryan diwakili peguam-peguam Wong Kian Kheong dan Chris Lim manakala peguam-peguam Akbardin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Darren.
Perbicaraan yang didengar di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung Isnin ini.
mstar