Saturday, December 25, 2010

Home » » DUA PENCURI DIBELASAH

DUA PENCURI DIBELASAH

JERTIH – Gara-gara melawan ketika usaha melarikan diri, dua lelaki dipercayai pencuri cedera selepas bergelut dan dibelasah penduduk kampung sebaik ditangkap di Kampung Tok Has dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, dua suspek berusia lingkungan 20-an itu didakwa memecah masuk ke dalam stor barang runcit milik seorang peniaga di kampung berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, berikutan kejadian itu, salah seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan dimasukkan ke Hospital Besut manakala rakannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Kedua-dua suspek pada mulanya dikatakan memecah masuk stor menyimpan barang runcit, tetapi gagal melarikan barangan apabila perbuatan mereka disedari lebih awal pemilik stor berkenaan.

Pemilik stor terbabit terus menghubungi suaminya sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung.

Mangsa bersama penduduk yang mengetahui kejadian itu terus ke tempat kejadian. Bagaimanapun suspek sempat melarikan diri ke dalam semak berhampiran dengan meninggalkan motosikal berhampiran stor terbabit.

Sinar Harian difahamkan, ratusan­ penduduk kampung keluar beramai-ramai mengepung dan menggeledah kawasan berkenaan untuk mencari suspek yang sedang bersembunyi.

Kira-kira 30 minit selepas melarikan diri, suspek pertama ditemui penduduk kampung sedang bersembunyi di dalam rumah kosong tidak jauh dari tempat kejadian.

Usaha mencari suspek kedua diteruskan penduduk kampung dan pada masa sama mereka turut memaklumkan kepada polis.

Akhirnya, kira-kira jam 5 petang suspek kedua dijumpai penduduk kampung di dalam semak belakang bekas kilang pengawet tembakau di sini, juga tidak jauh dari tempat kejadian.

Kedua-duanya didakwa cuba memboloskan diri dan bergelut dengan orang ramai menyebabkan mereka cedera.
Penduduk kampung menyerahkan suspek kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seorang suspek dikatakan dari Kampung Air Tawar dekat Kampung Raja manakala seorang lagi dari Kuala Setiu, Setiu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan­ itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update