Semenjak kecil ibu bapa anda sering mengingatkan anda supaya sentiasa menabung. Pesanan orang tua-tua ini ada kebenarannya, bak kata pepatah, “Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit” . Ramai yang sentiasa mempunyai keazaman untuk menabung setiap bulan, tetapi hakikatnya azam tersebut jarang sekali dapat dicapai.
Tip kewangan kali ini tentang menabung dengan wang syiling dan wang kertas RM1. Mengapa duit syiling dan wang kertas RM 1? Ini kerana menyimpan syiling lebih mudah dan wang kertas RM1 tidak besar nilainya. Jadi, walaupun simpanan anda nampak sedikit, tetapi sekurang-kurangnya usaha anda untuk menabung berbaloi berbanding menunggu wang yang banyak untuk mula menabung.
Tip 1 : Pastikan tabung anda tidak mudah dipecahkan atau dibuka.
Pelbagaikan reka bentuk tabung untuk menarik minat anda dan pastikan tabung anda tidak mudah dibuka. Anda juga boleh menggunakan semula kotak-kotak dan bekas-bekas yang tidak digunakan untuk dijadikan tabung.
Tip 2 : Letakkan tabung anda di tempat yang mudah dilihat.
Tip ini dapat membantu anda untuk sentiasa ingat untuk menabung. Sekiranya tabung anda diletakkan di dalam almari dan di lokasi yang sukar dilihat, kemungkinan anda terlupa untuk membuat tabungan.
Tip 3: Tetapkan masa dan waktu untuk anda menabung.
Anda boleh menetapkan masa dan waktu untuk anda menabung, sebagai contoh anda menyimpan wang syiling anda selepas waktu balik dari sekolah, atau selepas anda menghadiri tuisyen harian, atau selepas makan malam bersama-sama keluarga dan sebagainya.
Tip 4: Membayar menggunakan wang kertas yang nilainya lebih besar.
Apabila anda membayar dengan wang kertas yang nilainya lebih besar, anda tentu akan mendapat wang baki, sama ada dalam bentuk syiling dan wang kertas RM1. Tip ini adalah salah satu contoh untuk memaksa diri anda menabung. Siapa yang sanggup untuk untuk menunjukkan bahawa dompetnya kelihatan hodoh. Sudah tentu anda akan simpan semua syiling tersebut ke dalam tabung.
Tip 5: Pastikan anda menyimpan tabung syiling yang penuh terus ke bank
Apabila wang syiling dan wang kertas RM1 anda telah penuh, pastikan anda terus ke bank untuk membuat simpanan. Jika anda menangguhkan simpanan atau menukarkan syiling kepada wang kertas yang bernilai lebih besar, kemungkinan anda akan membelanjakan wang-wang tersebut.
Disiplinkan diri adalah penting untuk anda sentiasa menabung. Tetapkan matlamat semasa anda menabung walaupun dengan wang syiling. Sentiasa motivasikan diri anda dan berkongsi tujuan anda menabung bersama-sama rakan-rakan dan ahli keluarga
Tip ini boleh dijadikan panduan oleh
semua golongan, termasuk pelajar sekolah, mahasiswa, suri rumah ataupun
yang telah bekerja. Selamat mencuba!
Disediakan Oleh:
Siti Rahayu Zakaria
Disediakan Oleh:
Siti Rahayu Zakaria