Asal Usul Negeri Kelantan
Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan serambi mekah pada masa dahulu.
penemuan terbaru di dua gua dikenali sebagai Gua Musang dan Gua Cha di Kelantan menunjukkan bahawa terdapat pemukiman manusia dating kembali ke zaman prasejarah. Catatan sejarah menunjukkan bahawa Kelantan dipengaruhi oleh Kerajaan Funan di Sungai Mekong. nota China menunjukkan hubungan dengan Kelantan yang disebut "Ho-Lo-Tan" dan yang tampaknya menjadi kerajaan yang berpengaruh di kawasan-kawasan ini.
Asal Usul Negeri Terengganu
Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".
Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.
Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.
Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.
Asal Usul Negeri Pahang Darul Makmur
Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.
Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Lembing.
Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang iaitu Pekan dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Kuala Lipis. Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.
Asal usul nama Negeri Perak
Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Negeri Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari 'kilatan ikan dalam air' yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di buminya.
Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man.
Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.
Asal usul Negeri Melaka
Nama Melaka pertama kali dikesan penggunaannya adalah pada abad ke -14. Terdapat pelbagai cerita tentang bagaimana Melaka mendapat namanya.Walaubagaimanapun, cerita yang diterima umum ialah cerita yang mengaitkan nama itu dengan sebatang pokok yang disebut pokok Melaka.
Menurut cerita sewaktu Parameswara sedang memburu, tiba-tiba seekor pelanduk putih dengan gagahnya menendang anjing baginda hingga jatuh ke laut. Baginda terpegun dengan peristiwa ganjil itu lantas berpendapat bahawa tempat itu sangat sesuai untuk dijadikan tapak negeri. Mengikut kepercayaan orang Melayu pada zaman itu, kejadian ganjil seumpama itu melambangkan permulaan suatu pekerjaan yang akan menghasilkan kejayaan.
Baginda memerintahkan supaya sebuah negeri dibuka dan negeri itu dinamakan Melaka, mengambil sempena nama pokok tempat baginda sedang berteduh ketika berlakunya peristiwa ganjil itu. Selain itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa Melaka berasal dari perkataan 'Malagas'. Menurut Gasper Correa, penulis sejarah pada tahun 1551 mengatakan bahawa Parameswara melarikan diri ke Melaka, didapati sudah ada penempatan orang Melayu asli dan orang Laut.
Baginda mendapati di muara sungai itu ada sebuah perkampungan nelayan di mana penduduknya melakukan kerja membuat ikan masin untuk dijual kepada pedagang-pedagang yang datang dari luar. Tempat itu dikenali sebagai 'Malagas' atau 'Mulagas', sempena namanya sebagai pusat menjual ikan masin.
Dalam buku 'Suma Oriental', nama Melaka dikatakan berasal daripada perkataan 'Malaya' yang bermaksud 'tempat perlindungan'. Menurut cerita, semasa Parameswara sampai ke Muar, sekumpulan Orang Selat telah bertemu dangan baginda dan memohon supaya baginda merajai mereka di suatu tempat yang lebih sesuai iaitu di Bertam lalu Parameswara bertitah kepada mereka, "kamu semua tahu dalam bahasa kita,seseorang yang melarikan diri itu dipanggil 'Melayo', oleh itu baiklah tempat ini dipanggil 'Malaya' kerana tempat ini tempat perlindungan kita".
Pendapat lain pula mengatakan bahawa nama Melaka berasal daripada 'mirabolanos' iaitu sejenis buah yang dikeringkan. Nama Melaka juga dikaitkan dengan 'Malayakolam' atau 'Malayaka' yang bererti 'negeri orang Melayu'. Nama itu juga mempunyai persamaan dengan nama satu suku yang terdapat di India yang pernah disebut dalam cerita 'Mahabhrata'.
Asal usul Negeri Johor
Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.
Asal usul Negeri Kedah
Rekod-rekod lama yang menyebut nama "Kedah" walaupun dalam pelbagai sebutan boleh dikesan semenjak tahun 846 Masihi. Misalnya dalam rekod pengembaraan Ibnu Khurdadhbih penulis buku al Masalik wal Mamalik ada disebut mengenai sebuah pulau yang bernama "Kilah" yang mempunyai banyak bijih dan hutan buluh. Buku ini merupakan buku panduan mengenai kawasan kawasan empayar Islam dan mengandungi juga maklumat mengenai topografi Asia Tenggara.
Seorang pengembara Arab bernama Sulaiman yang pernah menulis dalam tahun 851 masihi menyebut mengenai kawasan bernama "Kalahbar" yang dikatakan sebagai tempat yang bernaung di bawah Zabaj iaitu Empayar Srivijaya di Palembang. Ibnu Muhalhal yang menulis dalam tahun 941 masihi menyebut "Kalah" sebagai terakhir bagi kapal-kapal berlabuh disebelah timur. "Kalah" digambarkan sebagai sebuah Bandar besar yang dikelilingi oleh tembok yang tinggi, penuh dengan taman-taman dan alur. "Kalah" juga mempunyai banyak lombong atau "Kelian" bijih. Menurut fbnu Muhafhal "Kelian" seperti itu tidak terdapat di mana-mana pun di dunia. Disana juga terdapat pedang yang paling istimewa buatannya.
Asal usul Negeri Perlis
Menurut seorang tokoh sejarawan Malaysia iaitu Haji Buyong Adil, terdapat beberapa cerita yang mengisahkan kononnya nama Perlis itu berasal daripada perkataan Siam iaitu “Phrau Loi” (Maphrau Loi) yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipelat dan dipendekkan bunyinya oleh orang Melayu lalu menjadi ‘pereleh’ atau Perlis.
Sumber kedua menyatakan bahawa kononnya nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis.
Sumber yang ketiga pula menyebut negeri Perlis mendapat namanya daripada nama sebuah kubur di Bukit Mengulang iaitu kubur Tok Perlis. Kubur tersebut adalah milik seorang tokoh ulama yang terkemuka di Nusantara iaitu Tok Perlis.
Sumber yang keempat mengatakan nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘perlus’. Kebanyakan tanah dalam di Perlis ialah tanah sawah. Pada musim kemarau, tanah sawah akan merekah. Sesiapa yang berjalan akan ‘terperlus’. Dari perkataan ‘perlus’ itulah, Perlis mendapat namanya.
Menurut sebuah buku yang tulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, dipercayai bahawa nama negeri Perlis berasal daripada nama sejenis pokok yang dikenali sebagai pokok perlis. Pokok ini dahulunya tumbuh dengan begitu banyak di negeri tersebut, terutama sekali di kawasan pinggir sungai. Kini, pokok perlis ini telah pun pupus.
Asal usul Negeri Sabah
Nama Sabah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Bristish ke Pulau Borneo lagi. Pihak British menukarkannya sebagai Borneo Utara dan digunakan secara rasmi semenjak tahun 1881. Sabah telah digunakan semula pada tahun 1963 setelah Sabah masuk ke dalam Malaysia.
Terdapat banyak variasi bagaimana nama Sabah diperolehi. Sabah pernah dikenali sebagai ‘Sudang’ yang pernah tercatat dalam puisi Java Nagaraketagama yang ditulis oleh Prapancha pada tahun 1365. Nama Sabah pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh pedagang yang mengembara di antara Pulau Sulu dan Brunei.
juga nama Sabah diperolehi daripada tanaman pisang yang dipanggil ‘Pisang Saba’. Pada masa sekarang ‘Pisang Saba’ dikenali sebagai ‘Pisang Menurun’. Jenis pisang ini biasa tumbuh di sepanjang pantai barat Sabah. Dialek orang tempatan yang menyebut ‘saba’ seperti menyebut ‘Sabah’ telah menyebabkan nama Sabah diperolehi.
Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Pentadbiran Sabah dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Bahagian Pantai Barat, Bahagian Sandakan, Bahagian Tawau, Bahagian Pedalaman dan Bahagian Kudat.
Asal usul Negeri Selangor
Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor.
Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan singkatan, gabungan atau perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal menerusi peredaran masa.
Menurut satu kisah, satu ketika dahulu kawasan kuala sungai tersebut dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai mentangau. Pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu kerana didapati sesuai sebagai tempat persinggahan bagi menambah bekalan menyambung pelayaran. Para pelayar menggelar kawasan ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.
Kisah yang lain menceritakan bagaimana seorang pendekar yang sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Ketika sedang berehat, dirinya rasa cukup terganggu dengan kehadiran seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau. Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama tempat tersebut.
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa terdapat sebuah kawasan di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di bawah terik matahari. Mengikut adat Melayu ketika itu hukuman ini dilakukan di kawasan yang disebut sebagai “di hujung pasir”, yang mana ia menepati ciri-ciri bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut. Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.
P/S : Ini sebahagian info yang dapat aku beri pasal asal usul nama negeri kat Malaysia. Kalau salah mintaklah maaf dan kalau rajin tolonglah tambah. Kalau ada info yang lain ringan ringanlah tangan untuk menambah yer.