Doktor Kermit Gosnell, 69, didakwa melakukan pembunuhan secara tidak bertamadun itu dengan bantuan sembilan pekerja - seorang daripada mereka ialah pelajar sekolah tinggi berusia 15 tahun yang diarah melakukan pembedahan dan suntikan ubat bius. Pendakwa raya mendakwa bayi berkenaan dibunuh selepas mereka dilahirkan melalui kaedah pengguguran ketika berusia enam, tujuh atau lapan bulan kehamilan.
Gosnell didakwa membunuh tujuh bayi dan seorang ibu berusia 41 tahun yang mati selepas disuntik dengan ubat bius berlebihan.
Pihak berkuasa mengesyaki doktor itu mungkin sudah membunuh beratus-ratus bayi ketika bertugas selama 30 tahun. Dia memperoleh AS$1.8 juta (RM5.58 juta) dalam setahun hanya melakukan prosedur itu.
Dia merawat wanita imigran atau miskin yang tidak mampu melakukan pengguguran di tempat lain.
Pihak berkuasa berkata, klinik yang menjijikkan, menakutkan dan meloyakan itu mendapat gelaran ‘Pusat Kesihatan Menyeramkan’ daripada Persatuan Perubatan Wanita. “Terdapat beg dan botol yang mengandungi janin bersepah di dalam bangunan itu,” kata Ketua Pendakwa raya Philadelphia, Seth Williams.
“Terdapat juga kaki bayi disimpan dalam balang kaca yang bukan untuk tujuan perubatan.
“Sesetengahnya disimpan dalam peti sejuk di mana pekerja menyimpan makanan tengah hari,” katanya. - DM