Monday, February 7, 2011

Home » » Diana dan Farid Kamil sudah tidak ada apa-apa hubungan

Diana dan Farid Kamil sudah tidak ada apa-apa hubungan



TANPA berselindung, akhirnya aktres remaja, Diana Danielle, 20, mengakui antara dia dan pengarah serta aktor popular, Farid Kamil, 30, sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi apabila mengesahkan putus cinta dengan pemuda itu akhir bulan lalu, selepas mendapati tiada keserasian dan persefahaman antara mereka. Justeru, kedua-duanya mengambil keputusan untuk menjadi kawan baik saja selepas ini tanpa membabitkan sebarang perasaan dalam perhubungan.

Diana yang kini sibuk menyiapkan baki penggambaran filem terbarunya, Barajiwa arahan Osman Ali di Port Klang, Klang, Selangor juga menegaskan, punca perpisahan antara mereka tiada kena mengena dengan orang ketiga apabila desas-desus sebelum ini menyebut keintimannya dengan bekas kekasih, Syamsul Yusof, 26, yang juga Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang dikatakan kembali terjalin, menjadi punca dia dan Farid putus kasih.

“Syamsul tak ada kena mengena dalam hal ini. Saya dan Farid putus cinta bukan disebabkan sesiapa termasuk Syamsul, sebaliknya membabitkan diri kami.

Sekalipun putus cinta, kami tak pernah bergaduh, sebaliknya masih berhubungan sampai hari ini. Boleh dikatakan, selepas putus cinta, kami masih berbual di telefon setiap hari, cuma tidak lagi sebagai pasangan kekasih, tetapi sebagai kawan baik.

“Saya dan Farid masih cuba memperbaiki perhubungan ini. Sekiranya suatu hari nanti ditakdirkan kami kembali menjalin hubungan cinta, saya reda, tapi jika kami terus selesa sebagai kami baik, saya terima ketentuan itu. Terus-terang, saya masih menyayangi dirinya, kami masih berusaha cuba perbetulkan keadaan,” kata Diana sambil mengakui sudah menjalin hubungan cinta bersama Farid hampir dua tahun.

Terdahulu, Diana menerusi sebuah portal hiburan membuat kenyataan: “Saya dah buat keputusan untuk putus dengan Farid (Kamil). Untuk pengetahuan anda, saya tegaskan, tiada orang ketiga, tiada sebab-sebab luar dan terlalu peribadi untuk dibincangkan.”

Ketika diajukan soalan, apakah punca perpisahan Diana dan Farid, dia agak keberatan untuk menjelaskan secara terperinci, namun selepas didesak dan dipujuk beberapa kali, akhirnya dia akur apabila menegaskan segala-galanya berpunca kurangnya perhatian daripada Farid terhadap dirinya terutama masa santai untuk mereka berdua seperti kebanyakan pasangan kekasih lain lalui di luar sana.

“Kami masing-masing sibuk dengan jadual penggambaran yang sentiasa padat. Saya amat memahami situasi berkenaan. Namun, sekiranya ada masa terluang, Farid lebih rela menghabiskan masa santai beliau bersama aktiviti menunggang kuda daripada bertemu dengan saya. Saya faham dengan hobinya itu, tapi jika masa dia dengan aktiviti berkuda lebih banyak diluangkan berbanding masa bertemu saya, saya rasa dia lebih mengutamakan minatnya.

“Jadi, kami mengambil keputusan untuk meletakkan noktah kepada perhubungan ini supaya masing-masing berpeluang menumpukan perhatian kepada minat dan kerjaya. Rasanya kami lebih selesa berkawan baik daripada bergelar pasangan kekasih. Sekalipun tidak lagi menjalin hubungan cinta, tapi kami nampaknya lebih akrab sebagai kawan baik dan saya sendiri tidak tahu bila situasi seperti ini akan berterusan. Sekiranya ada jodoh, insya-Allah kami kembali menjalin hubungan seperti dulu,” kata Diana tanpa berselindung.

Mengenai desas-desus Farid memutuskan hubungan dengan Diana disebabkan sikap dirinya yang kebudak-budakan dan sering mencari pasal dan bertekak sekalipun membabitkan hal remeh seperti disiarkan akhbar tabloid minggu lalu, dia menegaskan:

“Saya tak nafikan, usia saya baru 20 tahun, masih muda dan tak keterlaluan umur saya boleh dianggap kebudak-budakan. Namun, tidak bermakna perangai saya juga kebudak-budakan. Saya menafikan dakwaan itu sama sekali kononnya Farid putus cinta dengan saya kerana sikap saya kebudak-budakan. Saya tak faham daripada mana spekulasi itu boleh muncul, tapi biarlah, saya tak mahu layan.”

Bagaimana dakwaan disiarkan sebuah portal hiburan baru-baru ini, mendakwa dengan kenyataan: “Farid Kamil dah ‘dum’ Diana Danielle!”

Dia menafikan tuduhan itu, sekali gus menegaskan, keputusan berpisah adalah atas persetujuan dan kerelaan bersama.

“Tak timbul isu siapa minta putus cinta, sebaliknya kami berdua bersepakat tidak meneruskan perhubungan ini. Saya tak faham, bagaimana dakwaan seperti itu boleh ditimbulkan seolah-olah orang luar lebih tahu apa berlaku dalam perhubungan kami. Sekali lagi ingin saya jelaskan, saya dan Farid tak pernah bergaduh, kami masih cuba memperbaiki perhubungan, selebihnya saya serahkan kepada jodoh,” kata Diana.

Oleh Zubir Mohd Yunus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update