Ally dan Nur Aishah |
PETALING JAYA: Selepas pembaca berita Buletin Utama, Saiful Nizam Ismail bertemu jodoh dengan juara Gadis Melayu musim pertama (GM1), Khairul Noormaidah Zali atau Aida, kini seorang lagi peserta GM1 disunting pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ally Iskandar Mohd Mardzi.
Ally Iskandar, 35, memilih Nur Aishah Zainal, 26, sebagai pilihan hatinya dan pasangan ini selamat bertunang pada 11 Februari lalu. Malah, majlis pertunangan mereka diadakan secara tertutup yang dihadiri sanak-saudara kedua-dua pihak.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran program baru, Sejuta Impian di Sri Pentas, TV3, semalam, Ally berkata, dia tidak berniat menyembunyikannya daripada media, tetapi menghormati permintaan keluarga.
“Saya minta maaf kepada semua pihak kerana tidak mengundang untuk menghadiri majlis pertunangan itu kerana bukan saja wakil media, tetapi rakan sekerja juga tidak mengetahuinya kecuali bos saya.
“Justeru, tak dinafikan saya terkejut apabila majlis pertunangan itu keluar dalam ruangan gosip. Saya tertanya-tanya juga siapa yang memaklumkannya, tetapi selepas membaca dan turut ditulis mengenai tema merah hitam majlis itu, saya faham.
“Barangkali maklumat itu diberikan pihak yang terbabit menguruskan majlis pertunangan itu. Bagaimanapun, saya tidak berniat untuk menyembunyikannya,” katanya.
Menurutnya, dia mula mengenali Nur Aishah pada 2008 dan mereka mula serius sejak tiga bulan lalu.
Tidak memaklumkan jumlah wang hantarannya, Ally yang ditanya mengenai kriteria Nur Aishah yang juga pemenang tempat kedua GM1 berjaya menambat hatinya, sekadar memaklumkan dia menerima gadis itu seadanya dan mahu sentiasa berada di sisi Nur Aishah.