Pada waktu siang, kita menggunakan pencahayaan lampu secara minimal kerana lebih banyak menggunakan cahaya semula jadi daripada matahari.
Pada waktu malam pula, kita bergantung sepenuhnya kepada pencahayaan lampu di dalam rumah. Oleh itu bagaimana kita memasang dan menggunakan peralatan lampu penting kerana ia membentuk gaya hidup kita di rumah, selain ia dijadikan bahan perhiasan sahaja.
Pada umumnya, anggaran kos memasang peralatan lampu untuk flat empat bilik, misalnya, adalah $1,500 dan ke atas.
Sebuah lampu untuk ruang tamu boleh berharga daripada $100 hingga $10,000. Oleh itu bukan mudah menetapkan kos atau harga lampu-lampu tertentu kerana ia bergantung kepada cita rasa masing-masing.
Dalam rencana saya kali ini, saya ingin berkongsi beberapa kaedah dan panduan tentang pencahayaan dan peralatan lampu.
Ada pelbagai jenis peralatan lampu yang boleh digunakan untuk ruang di luar rumah seperti lampu taman yang berfungsi kalis air dan lampu untuk ruang di dalam rumah.
Kemudian, terdapat lampu yang mudah dialih-alih seperti lampu meja dan lampu berdiri, dan yang tetap, seperti lampu yang dipasang pada dinding, lantai atau siling rumah.
Kegunaan peralatan lampu juga berbagai- bagai - ada untuk kegunaan membuat kerja di meja atau di kaunter dapur, ada untuk menerangkan cermin di bilik air dan di ruang bilik atau dijadikan pusat tumpuan dan bahan estetika.
Bal lampu juga ada pelbagai macam. Dan yang popular kepada penghuni rumah adalah bal lampu fluorescent (kalimantang), tungsten, halogen dan LED. Setiap lampu ini berbeza-beza kegunaan, tenaga panas dan ukuran penggunaan kuasa elektriknya.
JENIS BAL LAMPU
Sebuah lampu pijar atau tungsten menghasilkan kehangatan yang mantap, dan boleh bertahan selama 700 hingga 1,000 jam.
Anda boleh menggunakan alat suraman atau dimmer untuk mengawal kecerahannya di ruang.
Bagaimanapun, bal lampu halogen lebih cekap daripada tungsten dalam pencahayaannya. Di rumah ia digunakan sebahagian besarnya untuk menyuluhkan pencahayaan pada dinding atau lantai, seperti lampu sorot halogen pada gambar dinding.
Halogen boleh digunakan dengan dimmer. Selama 20 tahun, halogen memanglah jenis bal lampu yang popular di kalangan pemilik rumah.
Lampu bal kalimantang pula boleh menghasilkan kecerahan cahaya yang menyeluruh di ruang dan tidak begitu panas kalau dipegang.
Pada awalnya ia hanya terdapat dalam warna putih sejuk.
Kini, lampu bal kalimantang boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan mempunyai unsur kepadatan yang membuat bal ini lebih senang digunakan.
Sebuah bal kalimantang boleh bertahan selama 10,000 hingga 20,000 jam, tetapi ia tidak boleh digunakan dengan alat dimmer.
Kita beruntung kini kerana dalam 50 tahun terakhir ini banyak kemajuan telah dibuat dalam teknologi pencayaan lampu.
Banyak syarikat lampu seperti Philips, Osram dan GE Lighting, terus ghairah membuat penyelidikan dan pengembangan mengenai pencahayaan lampu. Desain pada peralatan lampu pula lebih canggih dan kreatif.
Dalam beberapa tahun terakhir, kemajuan yang diperkenalkan dalam bal lampu LED sangat baik.
Kini lampu ini mudah didapati di kedai dan senang digunakan. Kalau dibandingkan bal lampu tungsten dengan bal lampu LED, bal lampu LED mungkin kini 100 peratus lebih mahal. Namun, dari segi penjimatan bil elektrik dan kos mengubah kepada bal LED yang baru, ia lebih menjimatkan.
Adalah dijangkakan bahawa lampu bal LED akan diperbanyak penggunaannya dan mungkin bal tungsten tidak akan digunakan lagi pada masa akan datang.
TIP PILIH PERALATAN LAMPU
Pertama, jika anda sedang mengubah suai rumah anda dan mempunyai bajet terhad untuk peralatan lampu, mulakan pemilihan anda dengan peralatan lampu di ruang makan atau ruang tamu.
Lampu yang paling menarik dan menyerikan rumah bermula pada ruang utama ini. Dari situ, lebih senang anda mula mencari lampu-lampu yang lain dan membahagikan bajet pada peralatan lampu untuk bilik-bilik yang lain.
Kedua, sertakan dalam bajet ubah suai anda beberapa lampu meja dan lampu yang berdiri. Kira-kira dua hingga empat lampu sudah mencukupi.
Lampu-lampu ini amat berguna apabila anda ingin lakukan ubah elok sedikit atau quick makeover di ruang rumah anda. Senang anda mengalihkannya mengikut cita rasa dekorasi anda, lebih-lebih lagi, lampu meja dan lampu berdiri kerana ia boleh membuat suasana ruang bilik lebih terasa ramah dan mesra.
Ketiga, jika anda inginkan daya tarikan pada dinding, anda boleh menggunakan sebuah lampu dinding yang menarik dan yang boleh memberikan sinaran cahaya lampu yang kreatif pada dinding.
Pilihan anda tidak terhad pada kertas dinding, lukisan, panel papan kayu dan seterusnya. Anda boleh menggunakan lampu dinding untuk mencipta kesan pencahayaan dan membuat dinding lebih menarik.
Keempat, di kedai hardware terdapat banyak corak bal LED sentuh atau tap-on yang boleh dipasang siap dan menggunakan bateri.
Jika kabinet besar atau almari baju anda malap dan gelap, lekatkan sahaja bal LED tap-on ini di dalam kabinet supaya anda senang melihat barang di dalamnya.
Ia juga mudah dipasang dengan menggunakan pelekat sahaja tanpa memasang aliran elektrik kepada kabinet dan almari.
Dengan demikian, anda boleh menjimatkan kos memasang lampu di almari kerana anda hanya menggunakannya sebentar sahaja dan kosnya amat minimal kerana ia menggunakan bateri biasa.
Kelima, perhatikan cara anda menggunakan lampu dalam kehidupan harian anda. Pelajari apa yang anda suka dan tidak suka agar anda boleh mengubah suai tatahias rumah anda nanti dan mengelakkan pembaziran kos pada peralatan lampu.
Kini, kian kurang penghuni rumah yang suka menggunakan siling plaster dan lampu sorot ke bawah atau downlights kerana lampu tetap di siling lebih mantap dan memadai kegunaannya. Jika anda inginkan pencahayaan lampu yang lebih cerah, tambahkan sahaja lampu meja atau lampu berdiri.
Sering kali saya ditanya berapakah tinggi lampu pendant atau lampu gantung di ruang makan yang harus diletakkan?
Ini terpulang pada skala ruang dan saiz peralatan lampu. Ukuran yang terbaik adalah antara 1.6 meter hingga ke 1.9 meter iaitu jarak tinggi daripada lantai.
Sebenarnya lebih rendah lampu pendant di meja makan, lebih intim suasana ruang tamu. Tetapi, ini juga terpulang kepada saiz lampu dan suhu panas daripada bal lampu.
Nota: Penulis ialah konsultan tatahias daripada Facelift Design & Interiors
Oleh
Amilia Gani