RON 97: 'Tahniah' kerajaan menyusahkan rakyat
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 2 Nov: PAS mengucapkan 'tahniah' kepada kerajaan Umno BN di atas keputusan menaikkan 5 sen harga petrol RON 97 bermula tengah malam tadi.
Ketika diminta mengulas perkembangan terbaru itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli secara sinis turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sekali lagi menyusahkan rakyat.
"Tahniah, sebab terus menerus buat keputusan yang menyusahkan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai hari ini tanpa sebarang pengumuman.
Berikutan itu, harganya kini menjadi RM2.15 seliter.
Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.
"Nampaknya kerajaan sekali lagi mengambil kesempatan tarik subsidi rakyat, kita tak dengar pun ada kenaikan minyak di pasaran dunia.
"Ini terbukti kerajaan akan terus naikkan harga barang, tak kira waktu pilihan raya atau tidak," katanya.
Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2011 sebelum ini mengumumkan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion bagi menarik pelabur dan pelancong.
Bagaimanapun menurut Hatta, dengan keputusan menaikkan harga minyak tersebut, membuktikan bajet yang dibentang mementingkan projek mega dari keperluan rakyat.
"Kita bercakap tentang kedudukan kewangan negara yang mantap, dalam masa sama kerajaan alihkan beban kepada rakyat.
"Saya ingatkan kepada rakyat terutama pengundi Galas dan Batu Sapi bahawa akan ada lagi kenaikan harga barang diumum kerajaan Umno BN selepas ini," katanya yang juga Koordinator Protes.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim di Dewan Rakyat hari ini bagaimanapun menjelaskan, kenaikan tersebut adalah biasa kerana harga petrol RON 97 sebelum ini diletakkan dalam apungan dan boleh meningkat mengikut pasaran dunia.
Tuesday, November 2, 2010
Minyak Petrol Naik Lagi
2010-11-02T13:57:00+08:00
alissa
umum|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)