Ini kerana warna-warna yang kita pilih akan mewujudkan perbezaan besar kepada penampilan sesebuah ruang di dalam rumah kita.
Namun, adalah baik untuk memahami apakah makna di sebalik warna-warna ini.
Berikut pengertian di sebalik beberapa warna asas yang selalu menjadi pilihan, sebagaimana diberikan pakar-pakar warna.
HITAM
Ia melambangkan kegelapan, putus asa, kesedihan, suasana formal dan kemuraman.
Bagaimanapun, sejak beberapa lama warna hitam menjadi trend dan dilihat melambangkan misteri dan stail.
Untuk rumah, ia sesuai untuk bilik yang jarang digunakan. Dan oleh kerana hitam menyerap cahaya, cahaya tambahan daripada lampu perlu digunakan.
PUTIH
Secara tradisional warna putih melambangkan keamanan, kesucian, kegembiraan dan kebersihan.
Tidak seperti hitam, warna putih boleh digunakan dengan banyaknya tanpa kita berasa seperti terpenjara. Warna putih juga memberi suasana segar.
Bilik yang bertema warna putih juga kurang memerlukan cahaya lampu, cuma anda perlu meneliti kebersihannya kerana sedikit kekotoran pun akan jelas kelihatan.
KELABU
Dilihat sebagai warna suram, kelabu melambangkan kerendahan hati. Ia juga ada unsur-unsur kerohanian dan keintelektualan.
Namun, terlalu banyak kelabu membosankan, tetapi sebagai warna neutral, ia mudah dijaga dan dipelbagaikan dengan hiasan lain.
MERAH
Warna ini merangsangkan dan memberi tenaga. Warna merah garang dikaitkan dengan bahaya, ketegangan dan keterujaan.
Selain itu ia melambangkan kehangatan, kasih sayang dan kemeriahan. Merah juga adalah warna menarik untuk digandingkan dengan warna neutral, menjadikan sesebuah ruang lebih bermaya.
Namun, warna merah tidak boleh digunakan berlebihan demi mewujudkan sekitaran yang lebih tenteram.
OREN
Kesan warna oren agak serupa dengan warna merah, tetapi di paras lebih rendah. Oren melambangkan kesungguhan dan dianggap warna yang aktif dan ada ciri persaingan.
Di restoran makanan segera, warna oren cenderung membuat orang makan dengan cepat dan meninggalkan restoran itu dengan cepat juga.
Tetapi, warna oren redup lebih menyejukkan mata memandang.
KUNING
Kuning adalah warna yang paling tidak ketara, namun ia dapat merangsang dan memberi tenaga dalam cara yang tidak agresif.
Ia menghangatkan suasana sambil membangkitkan keriangan. Kuning juga adalah warna neutral yang mudah sekali digayakan dengan warna seperti oren dan merah dan yang saling melengkapi seperti ungu dan biru untuk keseimbangan.
HIJAU
Hijau melambangkan harapan, suasana santai dan ketenangan. Ia juga memberi gambaran akan keyakinan diri pengguna warna ini.
Digunakan sebagai warna untuk menyejukkan warna garang seperti merah atau oren, hijau boleh mententeramkan. Pilihan yang baik ialah warna hijau-kuning dan hijau-biru untuk digandingkan dengan warna merah.
BIRU
Inilah warna paling sedap mata memandang. Ia mententeramkan perasaan dan boleh mendodoikan.
Ia lambang perasaan yang mendalam yang dikaitkan dengan kepekaan, persepsi dan penyatuan dengan keadaan sekitar.
Namun, warna biru terlalu gelap membangkitkan rasa murung dan melemahkan semangat seseorang.
UNGU
Warna ini yang dilihat sebagai warna hampir hangat, dikaitkan dengan keadilan dan warna diraja, tetapi pada masa yang sama, ia juga adalah lambang kemurungan dan penderitaan.
Bagaimanapun, warna ini sebenarnya adalah warna menarik, terutama ungu redup yang menampilkan kewanitaan, seperti juga warna merah jambu. Ia menambah keayuan di sesebuah ruang.