Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Chrisanta Geron Lee, 10, berada di depan ketika menuruni eskalator bersama keluarganya apabila kasut dipakainya tiba-tiba tersangkut menyebabkan kaki kirinya terselit di celah eskalator bergerak.
Menurut ibunya yang hanya mahu dikenali Juliet, 46, dari Bertam Jaya, dekat sini, dalam kejadian antara jam 8 malam hingga 9 malam itu, mereka sedang menuruni eskalator itu dari tingkat satu ke tingkat bawah.
“Dia (Chrisanta) berada di depan saya dan suami serta adik-beradiknya yang lain. Tiba-tiba dia menjerit sakit sambil memegang kaki kirinya. Suami terus berlari ke arahnya untuk menolong.
“Saya pula berlari cuba menghentikan eskalator itu dengan menekan butang di bawah, namun tidak berjaya sebelum beberapa kakitangan pasar raya datang membantu memberhentikannya,” katanya di temui di wad pediatrik Hospital Melaka petang semalam.
Beliau yang enggan wajah anaknya dirakam bagaimanapun bersyukur kerana Chrisanta tidak mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.
Katanya, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Kubu tiba beberapa minit kemudian dan berjaya mengeluarkan kaki anaknya yang tersepit sambil dibantu kakitangan bahagian penyelenggaraan pusat beli belah itu.
“Kaki anak saya hanya dapat dikeluarkan kira-kira sejam dan saya terkejut apabila melihat kecederaan dialaminya kerana menampakkan tulang kakinya
“Anak saya kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan. Syukur apabila doktor menjelaskan dia tidak mengalami sebarang keretakan tulang atau tisu otot terkoyak, sebaliknya hanya cedera kulit,” katanya.
Suaminya kemudian membuat laporan polis kejadian, namun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat beli-belah itu.
“Pihak pengurusan dan kakitangan pasar raya memberi kerjasama dan bantuan dengan penuh tanggungjawab. Malah pengurusnya turut melawat anak saya dan menawarkan bantuan termasuk ketika pendaftaran masuk ke hospital.
“Mereka juga berjanji bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan berdasarkan semua ini, saya tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
1 comments:
mcm tau jer shopping complex tu..hihi kat JJ baru mlk kat peringgit.. :P
jom singgah: Murah Rezeki Hari Ini
Post a Comment