Thursday, September 15, 2011

Home » » Pelbagai Risiko Kemalangan Di Rumah

Pelbagai Risiko Kemalangan Di Rumah

Rumah sepatutnya merupakan sebuah tempat yang paling selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Namun, rumah tidak lari daripada mempunyai pelbagai risiko yang boleh mendatangkan kecederaan kepada penghuninya, sama ada di dalam atau di luar kawasan rumah.

Kebanyakan kemalangan dan kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak di rumah sebenarnya dapat dielakkan jika perkara penting berkaitan aspek keselamatan diambil berat dan diberi perhatian.

Ketidakupayaan kanak-kanak berfikir seperti orang dewasa menyebabkan, perkara yang pada pandangan ibu bapa tidak berbahaya, menjadi bencana yang boleh membawa kecederaan, kecacatan kekal dan lebih teruk lagi maut kepada kanak-kanak.

Apa yang dimaksudkan kecederaan?
Kecederaan adalah seperti jatuh, keracunan, lemas, terbakar, melecur, tercekik dan terkena kejutan elektrik.

Namun, kecederaan yang kerap berlaku di rumah ialah kebakaran, jatuh dan melecur.

Jenis kecederaan
Jatuh - anak yang jatuh dari ketinggian dua atau tiga kaki (0.6 hingga 0.9 meter) boleh cedera teruk. Antara kawasan berbahaya yang boleh menyebabkan kanak-kanak jatuh ialah tangga, tingkap dan beranda. Ibu bapa mesti sentiasa berwaspada dan memberi perhatian kepada prinsip yang boleh mengelakkan kecederaan.

Keracunan - minyak tanah, ubat-ubatan, cecair membasuh rumah, alat solekan dan ubat membunuh tikus adalah racun yang sering termakan oleh kanak-kanak. Semua racun ini boleh mengakibatkan maut. Apabila anak pandai berjalan, mereka akan cuba makan apa saja yang di jumpa mereka termasuk racun. Oleh itu, ibu bapa mesti memastikan rumah mereka selamat untuk anak-anak mereka.

Lemas - kebanyakan kanak-kanak yang mati lemas di Malaysia berlaku ketika mereka berenang atau jatuh ke dalam sungai, kolam air dan laut. Adakalanya mereka lemas kerana diabaikan di dalam bilik mandi. Ibu bapa mesti berwaspada dan memahami bahawa seorang kanak-kanak boleh lemas apabila dibiarkan seketika saja walaupun air pada paras 6 sentimeter saja

Kebakaran dan melecur - kebanyakan kanak-kanak yang mengalami kecederaan ini memerlukan rawatan di hospital. Ini kerana melecur biasanya membabitkan kawasan kulit yang besar. Anak yang kecil sering melecur akibat tercurah cecair panas manakala anak yang lebih besar sering terbakar akibat bermain api. Kebanyakan kes melecur di rumah berlaku di dapur.

Bahaya di dalam rumah


• Bilik Tidur
o Selalunya dianggap sebagai tempat yang paling selamat
o Selalu memeriksa benda-benda yang terdapat di atas katil seperti bantal dan selimut. Ini dapat mengurangkan kejadian lemas pada kanak-kanak semasa tidur.
o Bilik tidur yang mempunyai peralatan elektrik seperti televisyen perlu diberi perhatian.

• Bilik mandi
o Awasi anak anda semasa mandi di dalam tab mandi atau menggunakan air dalam baldi. Mereka boleh lemas walaupun paras air yang hanya sedalam 5 cm
o Pisau cukur (manual atau elektrik) dan juga bahan kimia yang boleh menyebabkan kecederaan perlu disimpan dengan betul sekiranya tidak digunakan.
o Lantai yang licin dan juga tab mandi boleh menyebabkan seseorang terjatuh.

• Tangga
o Ini merupakan lubuk bahaya dalam rumah yang bertingkat
o Bagi melindungi kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak yang kecil, pintu kecil di tangga perlu dipasang untuk keselamatan
o Jangan tinggalkan barang-barang seperti alat permainan di atas tangga kerana ini boleh terpijak dan jatuh

• Lantai
o Tumpahan cecair akan melicinkan lantai dan menambahkan risiko terjatuh

• Bilik belajar
o Di dalam bilik ini, ibu bapa perlu lebih berhati-hati terhadap peralatan elektrik, hiasan yang digantung, bahan kimia dan perabot boleh mendatangkan bahaya.
o Alat tulis yang tajam seperti gunting boleh menjadi sangat berbahaya jika diambil main oleh kanak-kanak.
o Alat elektrik dalam bilik belajar perlu diberi perhatian agar kejutan elektrik tidak berlaku.

• Dapur
o Peralatan dalam dapur dan aktiviti memasak selalu menyebabkan berlakunya kecederaan yang serius.
o Minyak masak yang panas, air mendidih, kuali panas, rempah dan jpisau boleh mewujudkan persekitaran yang sangat berbahaya kepada kanak-kanak.

• Laman rumah
o Di samping menghadapi bahaya-bahaya semula jadi seperi ular, lipan dan juga serangga berbisa, kanak-kanak juga terdedah kepada bahaya buatan manusia seperti bahan kimia (baja),racun serangga dan juga peralatan berkebun.
o Kanak-kanak dalam laman rumah perlu dijaga agar tidak menyeberangi jalan raya dengan sesuka hati.

• Bilik stor dan garaj
o Terdapat banyak barang-barang yang merbahaya disimpan di sini. Bahan kimia dan juga alatan pertukangan adalah barang yang paling kerap boleh mendatangkan kecederaan.

Mencegah kecederaan biasanya memerlukan penglibatan pelbagai disiplin dan pendekatan. Kanak-kanak (kurang daripada 14 tahun) dan wargatua (yang melebihi 65 tahun) merupakan golongan yang paling ramai mengalami kecederaan di rumah.

Sam Wong Chin Kah
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update