Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, aamiin tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca.
Doa sebenarnya permintaan, kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham, barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta.
Bila faham semasa berdoa sangat menolong kita mencarinya selepas berdoa dalam kehidupan seharian.
Kalau main minta atau main angkat tangan saja sedangkan tak faham apa-apa boleh dianggap bermain-main dengan doa.
Sudah puluhan tahun kita meminta perkara sama tapi tak dapat-dapat. Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan tapi kita sendiri yang hanya pandai minta tetapi tak pandai cari.
Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan. Antara yang kita mesti minta setiap hari sebanyak 17 kali sehari semalam ialah ‘ihdinassiratal mustaqim’ ataupun maksudnya ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’
Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari.
Doa ini tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah dahulu bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Besarnya juga doa ini ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar mengaku sebenar-benarnya hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.
Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’.
Tahukah kita apa jalan yang lurus itu? kalau tak tahu kena belajarlah sebab jalan yang lurus itu sangat penting.
Sesetengah remaja hanya tahu jalan betul, jumpa jalan betul terus merempit.
Orang Palestin mati di jalan Allah kita mati jalan raya.
Kalau kita perhatikan sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, ‘ihdinassiratal mustaqim’ Allah mentafsirkan jalan lurus itu Tuhan terangkan jalan yang Allah sudah berikan nikmat-Nya kepada orang-orang yang terdahulu.
Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah rasul, nabi, sahabat-sahabat dan aulia’. Mereka kekasih Allah, Tuhan yang menganugerahkan nikmat besar kepada mereka.
Nikmat pula ialah nikmat iman, Islam dan ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih Allah iaitu rasul, nabi dan wali Allah.
Mereka melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah.
Jalan yang lurus itulah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah.
Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah, minta dijauhkan kita daripada dua jalan yang tidak sampai kepada Allah iaitu jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat.
Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun.
Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang mendapat laknat Allah.
Jalan orang yang sesat pula ialah seperti Yahudi dan Nasrani (kristian).
Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui bertentangan
dengan kehendak Tuhan.
Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan. Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang yang mengikuti jalan lurus.
Jalan itu ditempuh oleh rasul, nabi, sahabat, tabiin dan wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan supaya Allah tunjukkan kita jalan
yang sampai kepada-Nya.
Dinyatakan tadi jalan itu adalah iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya.
Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita.
Barulah kita mendapat jalan yang lurus.
Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi.
Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh-sungguh ketika berkomunikasi dengan Allah. Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah selari seiring dan sejalan.
Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah!