Sunday, July 18, 2010

Home » » Haram pakai jersi lambang salib

Haram pakai jersi lambang salib

KUALA LUMPUR –  Pemakaian jersi bola sepak atau sebarang pakaian yang  memiliki lambang salib, jenama arak dan imej  syaitan adalah haram  hukumnya dan boleh menjurus kepada perbuatan  syirik.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata,  perkara tersebut  ditegah oleh Islam dan perbuatan  mengabaikan hukum  yang sudah jelas   boleh membawa umat Islam ke arah syirik.
Beliau berkata, memakai baju seperti  itu walau apapun alasannya   menunjukkan umat Islam seolah-olah mengagung-agungkan dan memuliakan  lambang agama lain.
“Semua mengetahui hukum ini dengan jelas, ia adalah haram dan jangan  beri alasan untuk menghalalkan perkara tersebut.
“Dalam hal ini, Islam tidak ada kompromi sama ada ia dibuat atas nama  hiburan, fesyen mahupun sukan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Ahad   baru-baru ini.
Beliau mengulas trend menyarung jersi    di kalangan remaja dan  golongan dewasa masa kini yang secara terang-terangan memiliki lambang   salib atau jenama arak di baju mereka.
Trend itu sudah agak lama berlaku di negara ini namun  semakin  popular   semenjak demam Piala Dunia melanda bermula awal tahun ini.
Antara jersi pasukan negara atau kelab yang tertera lambang salib  atau imej  syaitan adalah  Brazil, Portugal, Sweden dan Norway,  Manchester United dan Barcelona.
Nada yang sama turut diluahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani  Zakaria.
Beliau  berkata, perbuatan memakai baju  seperti itu hanya menjurus  ke arah dosa dan boleh mengakibatkan  syirik kepada Allah.
Jelasnya, pakaian yang mempamerkan lambang agama lain mahupun   mempunyai imej syaitan dan jenama arak dilihat seperti mengangkat  martabat lambang itu lebih tinggi berbanding Islam.
Menurut Harussani, Islam tidak menghalang umatnya untuk berfesyen  atau bersukan namun ia perlu dilakukan dalam ruang lingkup syarak  seperti menutup aurat dan tidak membazir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update