Monday, November 15, 2010

Home » » 10 tahun pertama terdedah perceraian

10 tahun pertama terdedah perceraian


BANGI 14 Nov. - Kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perkahwinan dalam tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan rumah tangga sekiranya tiada kesabaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustapha berkata, kajian Jakim pada 2008 itu mendapati, pada tempoh berkenaan perkahwinan menghadapi cabaran hebat seperti rumah tangga mudah goyah sehingga berlakunya perceraian.

Dalam pada itu, katanya, dalam kajian pada 2007 pula mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian.

Selain itu, katanya, 27.7 peratus perceraian berlaku untuk tempoh enam hingga 10 tahun pertama perkahwinan.

"Kajian juga menunjukkan 44.9 peratus perceraian berpunca daripada pasangan gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing selain masalah akhlak, kewangan, seksual dan campur tangan orang ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Keluarga Sakinah sempena Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan musim kedua di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Penolong Ketua Pengarang II, Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Halid Sintol, Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya serta 200 peserta yang bakal mendirikan rumah tangga.

Othman juga memberitahu, sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin supaya bersedia menghadapi tekanan seperti proses penyesuaian tingkah laku dan tabiat suami isteri.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga harus bersedia menanggung beban tugas dengan penambahan anak, perbelanjaan membayar hutang, kenderaan, persekolahan anak, pengasuh dan bantuan kepada ibu bapa yang sudah tua.

Katanya, perlu diingat perceraian memberi kesan buruk kepada anak-anak, justeru isu-isu gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kini adalah mereka dari keluarga kucar kacir dan tidak stabil.

Menurut Othman, rumah tangga yang kucar kacir juga mewujudkan anak-anak atau keluarga yang rendah jati diri dan lemah harga diri.

Oleh NORILA DAUD
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update