Saturday, November 6, 2010

Home » » Anggota bomba parah dalam kemalangan bas di Kuala Lipis

Anggota bomba parah dalam kemalangan bas di Kuala Lipis

KUANTAN: Seorang anggota bomba parah apabila bas ekspres Transnasional yang dinaikinya merempuh sebuah perhentian bas henti-henti sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Km 12, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian 11.45 malam itu, Zahari Azmi Zakaria, 22, dari Bachok, Kelantan hancur kaki kiri dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.


"Dia adalah antara tujuh orang yang masih dirawat di hospital itu, manakala 26 lagi telah dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas kemalangan itu, Abdul Razak berkata, pemandu bas itu yang membawa 31 penumpang dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, dipercayai hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.


"Bagaimanapun, pemandu itu yang berusia lingkungan 40an dan pemandu kedua bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Kedua-dua pemandu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update