Friday, September 2, 2011

Home » » BERHATI-HATI DENGAN KHIDMAT PUSAT KECANTIKAN

BERHATI-HATI DENGAN KHIDMAT PUSAT KECANTIKAN


Sejak kebelakangan ini, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima semakin banyak aduan pengguna mengenai mutu perkhidmatan dan produk dalam sektor salun kecantikan.

Menurut kebanyakan pengadu, mereka terjebak ke dalam perangkap apabila mereka tertarik dengan iklan yang memaparkan perkataan-perkataan seperti sesi percubaan percuma bernilai RM139, sesi percubaan percuma selama 7 hari dan lain-lain lagi. Apabila mereka tiba di pusat kecantikan atau kesihatan tersebut, mereka diberitahu bahawa sejumlah wang perlu dibayar ataupun perlu menjadi ahli sebelum mereka boleh menikmati sesi percubaan percuma tersebut.
Selain itu, pengadu-pengadu juga menerima pesanan ringkasan (SMS) daripada pusat-pusat kecantikan yang mengatakan mereka telah ‘terpilih’ untuk mencuba sesi percubaan percuma tersebut.
Kebanyakan pengadu tidak puas hati apabila sedar bahawa mereka perlu membayar untuk sesi percubaan yang ‘percuma’ tersebut. Di samping itu, selepas membayar sejumlah wang untuk proses rawatan selama 10 sesi, mereka akan dikenakan bayaran bagi produk yang digunakan proses rawatan.
Maklumat tentang bayaran berlebihan ini tidak dimaklumkan kepada mereka apabila mereka menandatangani kontrak untuk proses atau sesi rawatan tersebut.

Terdapat aduan tentang kes yang serius apabila  pengadu tersebut mengalami kesan parut yang berkekalan selepas menerima rawatan buang bulu kaki. Punca utama yang menyebabkan kemalangan ini masih dalam siasatan. Mengikut kes-kes dulu, kemungkinan besar kemalangan ini berlaku disebabkan oleh mesin yang rosak, kecuaian ataupun proses rawatan tersebut tidak sesuai untuk kaki pengadu.

Memandangkan keperluan dan permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan kecantikan ini semakin meningkat, maka pihak berkuasa perlu meneliti perkara ini dengan lebih serius dan melakukan tugas penguatkuasaan mereka. Selain itu, pengguna juga perlu mengetahui hak dan tanggungjawab mereka kerana perkhidmatan ini secara tidak langsung berkait rapat dengan kesihatan dan nyawa mereka. Oleh itu, pendidikan pengguna perlu dipergiatkan lagi.

Foon Weng Lian
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update