Tuesday, April 20, 2010

Home » » Perihal Nabi Ayub sakit teruk

Perihal Nabi Ayub sakit teruk

*Soalan*

Ada seorang penceramah di masjid tempat saya, dalam satu ceramahnya beliau
menceritakan perihal Nabi Allah Ayub a.s. yang mendapat penyakit ganjil
kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub a.s.
berkudis dan bernanah, sehingga dagingnya reput, berbau busuk serta berulat.
Kami jemaah masjid tertanya-tanya tentang peristiwa itu, bagaimana Nabi Ayub
a.s. boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya, jika
keadaan beliau seperti sedemikian. Mohon Dato' jelaskan?

FAUZI ABDUL RAHMAN,
Gombak, Kuala Lumpur


*Jawapan*


Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah
benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan
Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya,
dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan
kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41)

Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub a.s.terkena kesusahan dan
keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah
sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur
daging dan sebagainya.

Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah
kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam
Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan
kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis
batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai.

Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang
muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan
sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti
ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada
sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya.

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas
mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan
bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara
keseluruhannya.

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi
Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya
mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal.

Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan
berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti.

Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan
waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke
atas dirinya itu.

Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah
sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah.

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas
kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai
mencelarukan fikiran mereka.

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun,
tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah,
seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya:

"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya
telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada
segala yang mengasihi.

"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang
menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84)

Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa
(rayuan) Nabi Ayub a.s. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub
a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air
terpamcar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi
dengannya.

Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari
penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.

Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil
iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran
seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan.

Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s.
berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan
doanya

Wallahua'lam.

- lanh

(Petikan dari Harakah Bil.1338)

Apabila Disentuh Penderitaan (Doa Nabi Ayub):

( وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ
الرَّاحِمِينَ ( ٨٣

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada
Tuhannya Dengan berkata: "Sesungguhnya Aku ditimpa penyakit, sedang
Engkaulah sahaja Yang lebih Mengasihani daripada Segala (yang lain) Yang Mengasihani". (21:83)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update