Thursday, July 29, 2010

Home » » Kertas Dinding Sebagai Kemasan Dinding Memastikan Rumah Sentiasa Cantik Dan Rapi

Kertas Dinding Sebagai Kemasan Dinding Memastikan Rumah Sentiasa Cantik Dan Rapi

BERMACAM-MACAM cara yang boleh dilakukan untuk memastikan rumah sentiasa cantik dan rapi. Selain padanan warna cat dinding yang tepat, penggunaan kertas dinding sebagai kemasan dinding merupakan satu pilihan bijak.

Dinding pasti kelihatan cantik dengan pilihan rekaan yang tepat. Bagi memperbaharui ruang rumah, cara ini lebih murah dan cepat. Ia memberi corak, warna malah tekstur yang tidak mampu diperolehi dengan penggunaan cat. Pemilihan rekaan yang sesuai akan menjadikan ruang lebih luas. Selain itu, ia boleh ditanggal tanpa merosakkan dinding asal.

Kebiasaannya, kertas dinding yang berkualiti mampu bertahan antara tujuh hingga 10 tahun dan ia tidak mudah pudar.

Namun, pemilihan kertas dinding perlu dibuat dengan teliti supaya selaras dengan konsep dekorasi. Misalnya, jika anda inginkan dinding kelihatan lebih tinggi, pilihlah rekaan menegak atau corak besar. Pemilihan corak dan warna juga perlu sesuai dengan konsep rumah.

Secara keseluruhannya, kecantikan corak kertas dinding bergantung kepada pandangan pemilik kediaman kerana ia terlalu subjektif.

Mungkin anda minat menggunakan warna hitam atau merah terang sebagai latar belakang ruang tamu anda. Ia dikenali sebagai feature wall yang menjadi sudut pertama pandangan mata setiap kali seseorang masuk ke kawasan yang berkenaan. Ia juga akan menjadi latar belakang kepada persekitaran ruang.
Mencipta feature wall dengan menggunakan kertas dinding tidaklah susah. Anda hanya perlu tentukan corak dan warna.Antara kertas dinding yang kian popular adalah berkonsep tiga dimensi (3D).

Dalam aspek penjagaan, kertas dinding harus bebas daripada kelembapan yang tinggi khususnya air yang datang dari belakang dinding. Jika terkena air, segera lap dan keringkan betul-betul. Kelembapan jika dibiarkan terlalu lama menyebabkan kertas menjadi koyak atau lekang di samping comot dan hilang serinya. Namun, jika anak anda mencontengkan kertas dinding menggunakan pensel, ia boleh dipadam. Sebaliknya, jika mereka menggunakan pen, anda perlu potong bahagian yang terconteng dan tampal dengan kertas dinding yang baru.

Bagi memastikan kebersihan kertas dinding daripada habuk dan kotoran, anda mungkin boleh lap dengan kain seperti biasa.Bagi yang gemarkan suasana baru setiap kali tiba musim perayaan, kertas dinding boleh digunakan secara menyeluruh pada setiap ruang.Namun, bagi menggantikan cat dinding, anda perlu memilih kertas dinding yang kosong atau bercorak kecil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update