Friday, November 12, 2010

Home » » Cara Menenangkan Hati

Cara Menenangkan Hati


oleh : Harnizam

Kita memang memerlukan keperluan material yang mencukupi dan keperluan ini menyebabkan kita lebih cenderung memenuhi keperluan kehidupan serta menjadikan tujuan ini sebagai motivasi utama dalam kehidupan seharian. Memang tidak dapat dinafikan tiada siapa yang mahu ketinggalan dalam mengejar kehidupan yang lebih selesa. Namun kerana kesibukan ini, kita seringkali terlupa untuk memenuhkan satu lagi keperluan yang amat penting di dalam kehidupan, iaitu keperluan membaiki hati.

Keperluan ini diabaikan kerana acapkali dirasakan 24 jam sehari tidak cukup kerana sentiasa berkejar ke sana sini dalam menambahkan pendapatan, kerana tekanan kerja, masalah keluarga, sifat hasad dan dengki serta pelbagai masalah lagi yang timbul dalam menjalani kehidupan.

Secara tidak disedari keadaan kehidupan sebegini memberi kesan yang besar kepada ketidaksihatan hati. Permasalahan ini secara tidak disedari menyuburkan lagi penyakit hati. Begitu juga masalah-masalah sosial yang berlaku dikeliling kita, semuanya bersumber dari hati yang tidak sihat, maka kelakuan yang dilakukan juga bersifat negatif.

Hati secara khususnya mempunyai peranan yang cukup penting dalam menenangkan manusia dari hiruk pikuk kehidupan, terutamanya dalam mengejar kesenangan dunia. Hati yang tidak sihat akan memberi kesan kepada pemiliknya, samada dari sudut mental mahupun dari sudut fizikal.

Ajaran Islam amat mementingkan keperluan mensucikan hati. Saranan ini amat jelas terdapat di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya” (Asy-Syams:9-10).

Imam Al-Ghazali pula di dalam kitabnya, Tazkiyatun Nafs menyatakan pensucian hati sebegini hanya dapat dicapai melalui pelbagai jenis ibadah dan amal perbuatan tertentu, dan mestilah dilakukan secara sempurna.

Dalam mensucikan hati, alat yang terbaik adalah zikir. Faedah mensucikan hati ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah. Ketahuilah Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia” (Ar-Ra’d: 28).

Dari segi bahasa, zikir itu melepaskan diri dari kelalaian dan sifat lupa dengan menghadirkan hati secara berterusan kepada Allah SWT. Maka, bertepatanlah ia dengan Ihsan, seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam Hadis Jibrail, bermaksud: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dari skop yang lebih luas pula, zikir ini dapat dipraktikkan dengan lisan, hati dan dengan amalan wajib dan sunat.

Inilah antara punca utama bagi manusia memperolehi ketenangan yang hakiki, kerana hati memainkan peranan yang cukup besar di dalam kehidupan manusia, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Sesungguhnya iman akan kusut dalam perut (dada) anak Adam (manusia) seperti kusut (lusuh)nya pakaian, maka mohonlah kalian kepada Allah agar Dia memperbarui iman dalam kalbu kalian”. (Hadis Riwayat Thabrani)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update