Wednesday, November 10, 2010

Home » » Makna kejayaan untuk diri atau yang lain

Makna kejayaan untuk diri atau yang lain

Oleh: Rohman Shaary

Banyak sekali bunyi pesan:an untuk kejayaan. “Belajarlah rajin-rajin, nanti dapat kerja bagus,” kata Mak Ngah. “Kebanyakan rezeki datang dari perniagaan,” kata Pak Lang. “Harap awak dapat jadi kerani,” kata Mak Limah.

Pesanan di atas berbunyi begitu kerana mereka tidak tahu jawatan lebih besar daripada kerani. Itu saya dengar dalam tahun 1960-an. Bagaimanapun maksud pesanan mereka ialah agar orang yang diajak bercakap itu berjaya.

Tidak semua orang berusaha akan berjaya dapat kerja atau kerjaya impian mereka. Ada hendak jadi guru, tetapi gagal temu duga. Demikian juga yang hendak jadi pegawai bank. Besar juga jumlah yang gagal hendak menjadi pegawai polis.

Dalam ingatan saya, mengikut ukuran orang kampung dekad 1960-an, jarang terdengar pesanan berbunyi, “Belajarlah rajin-rajin nanti dapat jadi peniaga yang baik dan maju.” Saya sendiri anak peniaga. Bapa saya berkedai di kampung, dan itu pun sudah lain daripada penghuni di Kampung Gial. Orang kampung itu bertani dan menoreh getah. Ada seorang yang saya panggil Pak Anjang berpesan begini, “Cukuplah belajar banyak tu, balik jaga kedai pak.” Perhatikan, berniaga atau berkedai dikaitkan oleh Pak Anjang dengan saranan ‘cukuplah belajar banyak tu’. Mengapa begitu? Bagi pemikiran tahap Pak Anjang, berniaga tidak berkaitan dengan ilmu di sekolah. Berniaga berkaitan dengan aktiviti cari barang, dan jual. Itu saja.

Saya memikirkan satu hal lain berkaitan kejayaan, dalam bidang apa sekali pun. Orang yang berjaya dalam bidang pentadbiran, perguruan, perniagaan dan lain-lain, ditentukan oleh kecemerlangan bantuannya kepada orang lain. Dalam kata lain, kejayaan bagi saya ialah kejayaan berbakti, bukan hanya untuk diri. Bertolak daripada anggapan inilah saya ingin menyentuh seorang tokoh yang saya kenali.

Saya mengenali Hussamuddin Yaacob pada tahun 1980-an. Sepatutnya bersua dengannya semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam dekad 1970-an, tetapi kami berada di fakulti berbeza. Saya mengetahui beliau menerbitkan sebuah buku kajian oleh Johan Jaafar, dan berikutan itu saya ingin menerbitkan buku kajian saya di penerbitannya.

Saya tidak bimbang menyerahkan manuskrip kepada beliau kerana seluruh tingkah dan percakapannya melukiskan kejujuran. Menyerahkan lima manuskrip - kajian puisi, kajian novel, kajian cerpen, kajian drama dan kajian hikayat, saya dengan cepat menerima sejumlah wang cukup untuk bayaran awal membeli rumah. Itu satu pencapaian saya, tetapi lebih tepat dikatakan pencapaian beliau, yang ketika itu saya panggil ‘Sdr Haji’.

Apabila saya mendapat tahu Hussamuddin, atau kini Datuk Dr Hussamuddin Yaacob memperoleh ijazah Doktor Kehormat Pentadbiran Perniagaan dan Keusahawanan dari Universiti Tun Abdul Razak, saya gembira, bukan hanya kerana beliau sahabat baik saya, tetapi saya tahu betul anugerah itu amat tepat untuknya. Saya mengaitkan anggapan itu dengan keseluruhan kegiatan beliau, dan simpulkan bahawa beliau berjaya dalam perniagaan, sekali gus berjaya berbakti.

Dalam ucapannya pada majlis anugerah: “Anugerah ini akan terus menyuntik semangat saya untuk terus berbakti kepada masyarakat.” Pada perkiraan saya, apabila berjaya membangunkan Kumpulan Karangkraf sebagai penerbit terbesar majalah, beliau sudah berbakti kepada sejumlah besar pemuda-pemudi dan orang dewasa yang memerlukan pekerjaan. Hussamuddin ialah penyedia kerja. Tidak besar jumlah kawan saya yang berjaya begitu, yang menjadi Dekan atau Profesor di universiti, malah Naib Canselor, atau yang menjadi Ketua Pengarah di Kementerian, saya kira berjaya, tetapi itu ialah kejayaan mengikut acuan. Kejayaan Hussamuddin adalah kreatif, inovatif, dan untuk tiba ke kejayaan begitu, seseorang perlu berani, mahir berkomunikasi, sabar dan banyak lagi nilai murni perlu dilekapkan ke jiwa.

Beliau elok dijemput bercakap pada majlis-majlis berkaitan dengan bidang ini.

Tahniah Datuk Dr Hussamuddin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update