Monday, December 20, 2010

Home » » PROTON keluar enjin campro turbo

PROTON keluar enjin campro turbo

PROTON Holdings Bhd (PROTON) merancang mengeluarkan pelbagai varian kereta menggunakan enjin campro turbo bermula tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata enjin berkenaan memberikan pacuan kuasa kuda lebih tinggi berbanding enjin campro sedia ada yang digunakan PROTON.

“Ini disebabkan ramai pengguna mahukan kuasa lebih tinggi untuk kereta mereka dan kami sudah menggiatkan pengeluarannya sejak dua tahun lalu.

“Persiapan sudah dibuat dan kereta yang akan menggunakan enjin campro turbo dikeluarkan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Festival PROTON 1Malaysia di Subang Jaya, kelmarin.

Festival itu adalah antara acara penutup sempena ulang tahun ke-25 PROTON dan ia membabitkan pameran bergerak yang memperagakan model kereta PROTON dari dulu dan masa kini.

Pameran berkenaan akan diadakan di 11 lokasi seluruh Semenanjung bermula di Stadium Indera Mulia di Ipoh membabitkan 180 peserta dan 60 kereta PROTON, termasuk 25 kereta rasmi kelab kereta PROTON.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin berkata, PROTON akan memberi tumpuan terperinci terhadap pengukuhan jenama dan teknologi dalam persiapannya untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara.

“Perkara paling penting adalah memastikan model kereta PROTON sentiasa berdaya saing dan relevan kepada pengguna,” katanya.

Mengenai pengeluaran PROTON hibrid, beliau berkata, syarikat kini sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk menghasilkan model kereta itu.

“Kami akan membina kereta hibrid bagi kegunaan kerajaan dan sebagai permulaan ia akan digunakan di Putrajaya dan Cyberjaya.

“Matlamat kami ialah untuk mengeluarkan kereta itu ke dalam pasaran dan ia mungkin akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Mengulas mengenai Festival PROTON 1Malaysia, beliau berkata, matlamat utama acara selama dua minggu itu adalah bagi membuka mata rakyat Malaysia mengenai pencapaian sebenar PROTON berikutan masih ramai kurang faham mengenainya.

“Kami mengambil kesempatan untuk menonjolkan sejarah syarikat sepanjang 25 tahun pencapaian dalam industri automotif negara supaya rakyat dapat memahaminya dan berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update