Thursday, January 20, 2011

Home » » Nabil disingkir Konsert Lawak

Nabil disingkir Konsert Lawak

Sejak menjuarai Raja Lawak, aura sebagai pelawak semakin sebati dengan Nabil.

Kehebatannya sebagai pelawak tidak dapat dinafikan dan sejak itu, pelbagai anugerah diraih Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad.

Sekalipun dihujani pelbagai pujian, namun sebagai artis popular tanah air, dia tetap tidak terlepas daripada kontroversi.

Terbaru, Nabil tidak tersenarai dalam kelompok 26 pelawak untuk Konsert Lawak anjuran Astro Warna.

Timbul dakwaan kononnya, ketiadaan Nabil untuk konsert itu adalah disebabkan gosip dan kontroversi yang melanda dirinya selama ini menyebabkan dia disingkirkan daripada konsert berkenaan.

Nabil ketika dihubungi menyangkal dakwaan itu dan menyifatkan semua itu bertujuan menjejaskan kariernya.

“Saya tidak tahu macam mana isu ini boleh timbul. Saya ada menerima pelawaan pihak Astro untuk terlibat dalam konsert ini, tetapi saya terpaksa menolaknya dengan baik kerana pada tarikh itu saya akan terlibat dengan penggambaran filem Tamil.

“Kalau mereka mahu singkirkan saya, pasti saya tidak diundang, tetapi saya diberitahu cuma bertindih dengan jadual kerja saya. Siapa yang tidak mahu bergabung dengan artis veteran. Tambahan, ia konsert terbesar dan pertama di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, dia berhasrat menyertai konsert berkenaan, tetapi disebabkan dia telah menandatangani kontrak untuk filem berkenaan, dia terpaksa melupakan hasratnya itu.

“Ada yang cakap kenapa tidak minta cuti sehari untuk sertai Konsert Lawak ini. Apa yang dapat saya katakan, saya bekerja dengan produksi luar dan saya perlu memberikan komitmen serta perlu menghormati mereka. Saya tidak boleh lakukan dua kerja dalam satu masa kerana secara tidak langsung akan menjejaskan nama saya ,” katanya.

Nabil berkata, tahun ini dia berazam untuk tidak mencetuskan sebarang kontroversi.

“Saya mahu tahun ini sebagai tahun kejayaan untuk diri saya. Kejayaan tu bukan bermakna dapat anugerah, tetapi cukup sekadar saya tidak dikaitkan dengan perkara yang tidak baik.

“Apa yang berlaku pada saya sebelum ini cukup memberi pengajaran kepada saya. Saya bukan kejar glamor atau populariti,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update