Bayaran minimum, urus niaga tak sah jerat pengguna berhutang lebih lama
JIKA anda hanya membuat bayaran minimum, anda akan mengambil tempoh yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan lebih banyak hutang akan terkumpul.
Dengan kadar faedah yang tinggi, anda membayar lebih kepada pengeluar kad kredit jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang anda peroleh dulu. Jadual berikut menunjukkan tempoh bayaran balik dan jumlah faedah yang dikenakan pada kadar maksimum jika anda hanya membuat bayaran minimum 5 peratus setiap bulan.
-----------------------------------------------------------------------------
Baki belum jelas RM 1000 RM 5000 RM 10,000
-------------------------------------------------------------------------------
Kadar faedah (tahunan) 17.5% 17.5% 17.5%
Tempoh bayaran (tahun) 2.0 5.8 7.3
Jumlah faedah dikenakan RM 191 RM 1,838 RM 3,897
--------------------------------------------------------------------------------
Seperti jadual di atas, jika baki hutang RM 10,000 anda akan mengambil masa 7.3 tahun melangsaikan keseluruhan hutang itu. Anda juga terpaksa membayar RM 13,897 bagi jumlah asal RM10,000.
Adakah anda tahu cara melindungi daripada penipuan kad kredit? Antara penipuan kad kredit yang paling biasa adalah urus niaga tidak sah dan kecurian identiti.
Pengeluar kad kredit sentiasa berwaspada terhadap urus niaga palsu dan penipuan. Anda perlu juga mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
Ketahui juga jenis kad yang lain selain kad kredit... Kad caj, seperti juga kad kredit anda boleh membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.
Beza di antara kad kredit dan kad caj adalah kad kredit membenarkan anda membuat pembayaran minimum manakala untuk kad caj, anda mesti membayar kesemua jumlah mengikut penyata bulanan. Jika tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan.
Kad debit pula sama seperti kad kredit, anda boleh membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai tetapi had penggunaan tertakluk kepada baki di dalam akuan deposit anda.
Anda boleh menggunakan ia di tempat yang menerima kad tersebut. Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta merta daripada akuan anda.
Jika anda mendapati anda selalu membayar jumlah minimum pada kad kredit, kami cadangkan supaya beralih kepada kad debit.
Kad prabayar, boleh digunakan untuk membuat pembelian tertakluk kepada had jumlah nilai wang yang anda masukkan di dalam kad tersebut.
Contohnya seperti kad prabayar telefon atau kad Touch’n Go. Apabila baki berkurangan, anda perlu menambah semula nilai kad anda.
Dengan pengetahuan ini, kami harap anda mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang apa yang perlu diketahui sebelum memohon dan menggunakan kad kredit dengan bijak.