Permusuhan syaitan dengan manusia tidak akan berubah. Ia berlaku lantaran pengusirannya dari syurga serta kutukan yang diterimanya, gara-gara bapa seluruh manusia iaitu Nabi Adam AS. Tujuan utama dan sasaran terakhir syaitan ialah untuk melemparkan manusia ke dalam neraka dan menjauhkan mereka dari syurga.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Al Fathir: 6).
“Dia (Iblis berkata), “Terangkanlah kepada ku inikah orang yang Engkau muliakan atas diri ku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepada ku sampai Hari Kiamat, nescaya benar-benar aku akan sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.” (Surah Al-Isra’: 62).
Sebahagian kecil yang dimaksudkan ayat merujuk kepada golongan beriman lagi bertakwa. Kebanyakan ulama mengajar ilmu tasawuf membicarakan akhlak dari sudut nafsu. Mereka kurang menghuraikan musuh manusia yang utama iaitu syaitan. Antara paling jelas seperti ditekankan oleh ulama sufi-falsafah iaitu Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin.
ALLAH memperingatkan manusia kewujudan syaitan dan memerintahkan mereka agar berlindung daripadanya. Rasulullah SAW pada awal khutbah bersabda, “Dan kami berlindung kepada Allah daripada kejahatan nafs (diri) dan keburukan amal kami.” Jadi ketika membicarakan akhlak, ulama tasawuf harus memberi perhatian untuk memerangi syaitan.
ALLAH sediakan dua jenis makhluk untuk mendampingi manusia sepanjang masa iaitu malaikat dan syaitan. Muslim dan Ahmad mentakhrij daripada Ibnu Masud, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah ada salah seorang antara kalian melainkan diserahi pendampingnya daripada jenis jin dan daripada seorang pendampingnya daripada malaikat.” Mereka bertanya, “Begitu juga engkau wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Begitu juga aku. Tetapi Allah menolong ku dalam menghadapi jin, hingga aku terselamat dan tidak menyuruhkan kecuali kepada kebaikan.”
Pendamping manusia
Iblis dan syaitan sebenarnya berasal daripada makhluk yang serupa dengan hantu iaitu jin. Iblis ialah ketua syaitan akan terus hidup sampai hari kiamat. Jin kafir ialah syaitan. Jin Islam yang jahat dengan tipu daya dan mengganggu manusia juga adalah syaitan. Maksud jahat ialah menyesatkan manusia dengan pelbagai cara dengan mencemar kehidupan dan kerohanian manusia.
ALLAH SWT dan Rasulullah SAW mengajak manusia kepada pertunjuk dan keimanan. Jin pendamping manusia atau qarin ialah kategori syaitan. Ia tidak dapat mempengaruhi manusia yang benar-benar beriman lagi bertakwa. Orang ini ialah orang yang ikhlas sama ada dari segi kehidupannya dan kerohaniannya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Wahai Rabbku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba Engkau yang ikhlas antara mereka.” (Surah Al Hijr: 39-40).
Untuk menjadikan seluruh amalan kehidupan dan kerohanian ikhlas kerana ALLAH, perlukan kepada elemen utama iaitu berdasarkan kepada keimanan yang benar. Pemfokusan keseluruhan amalan perlu berpaksikan kepada dua kalimat syahadah. Maksudnya sesuatu perbuatan ibadah itu diamalkan ikhlas kerana ALLAH dan ia harus benar seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.
Sebagai pendamping manusia, malaikat dan qarin saling bersaing. Malaikat pendamping menganjurkan manusia kepada kebaikan. Sebaliknya jin kafir pendamping bertugas bermati-matian menghasut agar manusia mengingkari perintah ALLAH dan berbuat maksiat.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (Surah Al Zukhruf: 36).
Maksud maksiat secara umum ialah tidak taat kepada Allah iaitu dengan meninggalkan suruhan-Nya serta melanggar larangan-Nya. Ia meliputi dosa besar mahupun dosa kecil. Tipu daya syaitan bukan sahaja meliputi lingkungan ibadah tetapi kehidupan manusia secara keseluruhan.
Mereka yang sering meremehkan perintah ALLAH ialah orang yang dalam hatinya ada penyakit. Pendusta (termasuk mereka yang menyembunyikan kebenaran) serta orang yang banyak dosa amat disukai syaitan seperti firman ALLAH dalam Surah Asy-Syu’araa: 222.
Sebahagian orang menyangka amalan mereka benar padahal ia menyimpang dari petunjuk seperti firman ALLAH maksudnya, “Dan sesungguhnya syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka mereka mendapat petunjuk.” (Surah Az-Zukhruf: 37).
Senjata mukmin
Terdapat beberapa cara bagi membentengi diri daripada bisikan dan godaan syaitan. Pertama lengkapkan diri dengan ilmu dengan berguru kepada guru agama yang benar ilmunya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan bahawa Yang Kami perintahkan ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kalian mengikut jalan yang lain, kerana jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintah kepada kalian agar kalian bertakwa.” (Surah Al-An’am: 153)
Inilah cara yang paling utama untuk berlindung daripada syaitan iaitu dengan memberi komitmen secara bersungguh-sungguh terhadap Quran dan Sunnah. Syaitan tidak mengganggu orang yang sering berlindung kepada ALLAH seperti dinyatakan dalam Surah al-A’raf ayat 199-120 dan Surah al-Mukminun ayat 97-98.
Rasulullah SAW sentiasa mohon perlindungan ALLAH daripada syaitan pada pelbagai tempat dan keadaan. Syaitan tidak mampu menghasut orang yang sentiasa berzikir kepada ALLAH.
Maksud zikir sangat luas, bukan terbatas kepada solat, membaca al-Quran dan kalimah wirid sebagaimana dicontohkan Rasulullah SAW. Zikir juga bermaksud mendengar ceramah atau membaca buku bertujuan menambah ilmu agama dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
Hidup secara islamik dan dalam lingkungan orang bertakwa dibenci syaitan. Ini seperti dinyatakan Rasulullah dalam hadis, “Barang siapa antara kalian yang inginkan kesenangan hidup di syurga, maka hendaklah ia mengikut jemaah. Sesungguhnya syaitan itu bersama satu orang dan dia semakin jauh daripada dua orang.” (Riwayat at-Tarmidzi).
Orang yang sering bermuhasabah dan bertaubat sepanjang hayatnya tidak disukai syaitan.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang bertakwa apabila mereka ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat kepada ALLAH, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.” (Surah al-A’raf: 201).
sumber : sinar
Sunday, December 18, 2011
Siapa mudah dipengaruhi syaitan?
2011-12-18T08:00:00+08:00
alissa
spritual|