Sunday, November 7, 2010

Home » Kereta Bertembung dengan sebuah treler

Kereta Bertembung dengan sebuah treler

KUANTAN: Empat rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu kereta berkenaan terbakar selepas bertembung dengan treler yang membawa muatan buah kelapa.


Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Rosli Mat Isa, 28, Md Sharif Nani, 61, Marinah Kambas, 60, dan Patimah Ramli, 46.

"Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan yang dinaiki itu terbakar selepas bertembung, manakala pemandu dan kelindan treler terbabit hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Beliau berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat.


Katanya, keadaan cuaca ketika itu hujan lebat dengan keadaan jalan yang menurun bukit dan licin.

Johari berkata, ekoran daripada itu kereta yang dinaiki empat penumpang berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan. Kemudian katanya, sebuah treler yang membawa muatan buah kelapa ke Kelantan untuk bekalan bagi persiapan Hari Raya Aidiladha yang datang dari arah bertentangan merempuh kenderaan berkenaan.


"Kereta berkenaan yang terperosok di bawah treler itu terbakar, treler berkenaan kemudian turut terbakar bagaimanapun pemandu dan kelindannya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, semua mangsa yang berasal dari Taman Ayer Keroh, Melaka kemudian dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat. -Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update