Wednesday, November 10, 2010

Home » » Malaysia gagal sekat kemaraan Jepun

Malaysia gagal sekat kemaraan Jepun

10/11/2010

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak negara gagal menyekat kemaraan pasukan Jepun yang terus mendahului pasukan lain dalam saingan kumpulan A pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China apabila kecundang 2-0 di Stadium Huadu hari ini.

Meskipun Malaysia mampu mengawal pemainan dengan baik pada babak awal perlawanan, namun kesilapan barisan pertahanan negara ketika menerima serangan Jepun membuka ruang kepada Kensuke Nagai untuk melakukan jaringan pertama pada minit ke-26.


Di minit terakhir separuh masa pertama, Malaysia yang kelihatan tertekan dengan kedudukan 0-1 melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol lawan, namun gagal untuk membolosi kubu Jepun.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan negara bermain dengan corak permainan yang lebih agresif namun Jepun lebih bertuah dengan kehadiran gol kedua pada minit ke-64 hasil tandukan kencang Hotaru Yamaguchi.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan skuad kebangsaan negara biarpun tewas 0-2 kepada pasukan Jepun.


"Kita tidak boleh meletakan harapan tinggi kepada skuad bola sepak negara kerana Jepun adalah pasukan yang kuat berbanding dengan skuad negara, lagipun beberapa orang tunggak utama negara tidak dapat bermain dengan baik akibat daripada kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebagai rekod, Jepun adalah antara pasukan hebat yang menduduki tangga ke-30 ranking dunia, manakala Malaysia hanya berada di kedudukan ke-149.


Beliau bagaimanapun berkata Malaysia masih mempunyai peluang untuk melangkah ke pusingan berikutnya (pusingan kedua) sekiranya mampu menewaskan China pada perlawanan ketiga, pusingan pertama kumpulan A yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini. Pertemuan Malaysia-China dijadualkan berlangsung di Stadium Tianne pada jam 7 malam waktu tempatan.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update