Tuesday, November 9, 2010

Home » » Rumah Exco Selangor Dipecah Masuk

Rumah Exco Selangor Dipecah Masuk

KLANG: Seorang exco kerajaan negeri Selangor kerugian lebih RM70,000 selain hilang sebuah peti besi yang mengandungi barangan berharga, selepas rumahnya di Taman Klang Jaya di sini dimasuki pencuri, tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr A Xavier Jayakumar berkata, beliau percaya kejadian itu berlaku antara 12.30 tengah hari dan 3.30 petang, ketika semua anggota keluarganya tidak berada di rumah.


"Kejadian disedari oleh anak lelaki saya, Dev Arul yang pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang, apabila melihat keadaan empat bilik yang berselerak dengan semua laci meja terbuka dan peti besi hilang.

"Beliau kemudian menghubungi isteri yang memaklumkan kejadian ini kepada saya," katanya ketika ditemui hari ini.


Xavier yang bergegas pulang dari persidangan Dewan Undangan Negeri berkata, kejadian itu adalah yang pertama sejak 21 tahun menetap di kawasan itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti suspek dalam kejadian itu," katanya.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update