Sunday, November 7, 2010

Home » » Suami lemas ketika cuba selamatkan isteri

Suami lemas ketika cuba selamatkan isteri

KUANTAN: Seorang lelaki, yang baru sebulan berkahwin mati lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama isteri dan keluarganya di Sungai Jin di Kampung Pasir Kubur, Sungai Lembing, dekat sini hari ini.

Mohd Hazrul Abdul Jalil, 26, yang tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari sungai itu, disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Ketika kejadian Mohd Hazrul yang bekerja dengan Lembaga Pertubuhan Peladang di Perak bersama isteri Norfaridah Mohd Amin, 26, ibu dan adik lelakinya berkelah di sungai itu.


Adiknya, Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, berkata kesemua mereka turun ke sungai untuk mandi selepas makan pada jam 12 tengah hari dan abang serta kakak iparnya yang turun ke kawasan dalam, secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

"Masa itu abang dan kakak ipar dihanyutkan bersama tetapi abang cuba menolak kakak ipar ke atas permukaan air sebelum mereka dihanyutkan ke kawasan cetek dan diselamatkan tetapi abang tidak sedarkan diri," katanya.


Beliau berkata, setelah dibawa ke daratan, abangnya diberikan bantuan penafasan oleh orang ramai namun petugas kesihatan yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu memaklumkan Mohd Hazrul sudah meninggal dunia.


Mohd Helmi berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halamannya di Pulau Tambun, Pekan untuk urusan pengebumian setelah bedah siasat dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.-- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update