Tuesday, February 22, 2011

Home » » Mengapa Tidak Mahu Solat

Mengapa Tidak Mahu Solat





Solat adalah ibadah yang paling utama dalam Islam. Ia diibaratkan sebagai 'imaaduddin' atau 'tiang agama'. Namun pada hari ini, ada di antara kita yang rasa terbeban untuk melakukan solat. Mungkin kerana malas, sibuk, penat, atau mungkin juga solat yang dilakukan seperti tiada kesan. Padahal solat adalah keperluan manusia, seperti mana kita perlu udara untuk bernafas, serta makan dan minum untuk mengisi perut. Begitu juga dengan solat 5 waktu yang berfungsi sebagai 'charger' untuk memulihkan jiwa kita.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika ada sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di sungai itu 5 kali sehari, adakah masih terdapat kotoran (pada badannya)?" Para sahabat menjawab, "Tidak akan tertinggal sedikit pun kotoran." Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Maka begitulah solat 5 waktu. Melalui solat, Allah akan mengampunkan dosanya."

Dalam hidup, ada kalanya kita menghadapi kesulitan sehingga tubuh dan fikiran kita merasa letih dan tertekan. Namun melalui solat, kita diajak untuk mengingati Allah dan mengadu kepadaNya. Dan Allah akan mengampunkan dan memberi ketenangan pada jiwa kita. Begitulah peranan solat 5 waktu yang terus-menerus memberi kekuatan pada jiwa seorang Muslim. Maka rugilah orang yang tidak melakukan solat kerana menganggapnya sebagai suatu beban, sedangkan solat itu sendiri yang dapat meringankan beban manusia.

Akhir kata, semoga Allah mudahkan kita dalam melaksanakan ibadah solat dan memeliharanya pada setiap waktu. Sekian. Wassalaamu'alaikum wr wb.

Oleh Ustazah Khaafizah Md Hanif
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Darul Andalus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friend Update